JEPUN hari ni meluluskan untuk menarik balik darurat virus di Tokyo, sebulan sebelum Olimpik, tetapi menetapkan sekatan baharu yang mungkin mengehadkan jumlah peminat menyaksikan kejohanan itu.
Perintah darurat dikenakan di Tokyo sejak hujung April dan kebanyakannya sekatan terhadap waktu operasi bar dan restoran serta larangan menjual alkohol.
Sekatan itu akan ditamatkan di Tokyo dan lapan wilayah lain pada 20 Jun, kata Perdana Menteri Yoshihide Suga. Darurat kekal di Okinawa.
“Jumlah jangkitan di seluruh negara menurun sejak pertengahan Mei dan beban kapasiti di hospital kini semakin pulih.
“Di beberapa wilayah juga menunjukkan jumlah jangkitan kini perlahan dan berkurangan,” katanya.
Bagi menggantikan perintah darurat, kerajaan akan melaksanakan langkah sekatan di Tokyo dan enam kawasan lain hingga 11 Julai.
Langkah itu akan melonggarkan sedikit peraturan berkaitan larangan alkohol, dengan membenarkan penjualannya hingga 7 malam, tetapi restoran dan bar perlu ditutup pada 8 malam.
Dengan hanya lima minggu sehingga Olimpik yang sudah ditangguhkan sebelum ini berlangsung, Tokyo akan terus kekal dengan sekatan dan jumlah penonton bagi acara besar.
Keadaan perintah darurat sekarang membenarkan hanya 5,000 orang atau 50% daripada kapasiti tempat berlangsung acara.
Semalam, kerajaan meluluskan hingga 10,000 penonton bagi kawasan yang tidak dikenakan sekatan. – AFP, 17 Jun, 2021.
Komen