Tangguh politik, fokus perang melawan Covid-19


INI pandangan peribadi saya.

Saya sebelum ini menyatakan rakyat Malaysia akhirnya mula nampak cahaya di hujung terowong untuk keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang berpanjangan selama 18 bulan selepas Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas semalam.

Ini memberikan Malaysia—yang secara tiba-tiba menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk di dunia dalam mengawal penularan wabak Covid-19 sementara negara-negara yang menunjukkan prestasi terburuk dalam tempoh 12 bulan pertama wabak itu mengganas, kini telah berubah dan menunjukkan prestasi lebih baik dalam mengendalikan perang menentang pandemik Covid-19, terutamanya dalam program pemberian vaksin yang dijalankan mereka—sebuah peluang untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19.

Izinkan saya menyatakan pendirian peribadi saya. Saya menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri Malaysia kerana saya fikir beliau merupakan pemimpin yang paling berpengalaman, cekap dan berkelayakan untuk menjadi memimpin Malaysia yang merupakan sebuah negara yang majmuk.

Pun begitu, kita terjerat dalam kebuntuan perlembagaan selama lebih satu tahun, di mana tiada individu yang mempunyai majoriti yang mencukupi di Parlimen di tengah-tengah situasi negara ketika ini berdepan dengan ancaman eksistensial ekoran penularan pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

Saya percaya yang Muhyiddin Yassin, yang mana menukar namanya pada dokumen rasmi menjadi Mahiaddin Md Yasin, juga tidak mempunyai majoriti yang jelas di Parlimen.

Tetapi saya fikir ini adalah masalah yang tidak begitu penting dan melainkan ada individu yang dapat membuktikan bahawa dia mempunyai majoriti yang jelas dan menyakinkan untuk menjadi perdana menteri, isu ini mesti diketepikan bagi memberi tumpuan kepada usaha untuk menguruskan ancaman eksistensial yang terpaksa dihadapi negara ekoran penularan wabak Covid-19.

Permulaan baharu bagi negara ini telah dibuka seluas-luasnya susulan keputusan daripada perbincangan khas yang dijalankan Majlis Raja-Raja Melayu semalam dan tiada mana-mana entiti politik yang boleh menggunakan keputusan itu untuk menjustifikasikan kedudukannya dalam situasi politik dalam negara ketika ini.

Jadikan kedua-dua kenyataan yang dikeluarkan hasil Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Melayu semalam iaitu Parlimen serta Dewan Undangan Negeri harus bersidang secepat mungkin dan bahawa tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos, menjadi asas kepada “mentaliti perang” untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19.

Marilah kita mengetepikan sebarang perbezaan yang timbul di antara kita, sama ada dari segi pegangan politik atau sebagainya, untuk sepenuh hati memenangi peperangan melawan wabak Covid-19.

Saja justeru mencadangkan supaya moratorium politik dilaksanakan selama satu tahun—yang boleh dilanjutkan kepada dua tahun—bagi membolehkan negara fokus kepada usaha untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 dan memastikan jumlah kes kematian akibat Covid-19 tidak melebihi paras 5,000 kes.

Saya mengulangi gesaan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan untuk tidak bersikap keras kepala atau menjadi batu penghalang dengan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mengadakan sidang Parlimen dan DUN sebelum 1 Ogos 2021 kerana ini adalah hasrat jelas yang datang daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sendiri.

Pendirian Speaker Azhar Azizan Harun yang mempertahankan garis masa yang ditetapkan oleh perdana menteri untuk memanggil sidang Parlimen adalah satu perkara yang amat malang dan mengecewakan.

Saya menggesa supaya diadakan mesyuarat Kabinet tergempar bagi membincangkan mengenai keputusan yang dibuat hasil daripada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu semalam supaya Parlimen dapat mematuhi Perintah Tetap Dewan Rakyat dan bersidang pada hari Isnin, 19 Julai 2021.

Sementara itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu dibenarkan berfungsi dengan berkesan.

Malah, perlu wujud pembaharuan dan visi baharu berhubung peranan yang boleh dimainkan oleh Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19.

Rakyat Malaysia tidak ingin melihat krisis perlembagaan berlaku dalam apa jua bentuk, tetapi mahu setiap rakyat Malaysia, termasuk yang berjawatan dalam Eksekutif dan Badan Perundangan untuk tetap fokus dalam mencapai matlamat untuk memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19—dan ini harus menjadi fokus utama negara, tidak kira dalam tempoh setahun atau dua tahun.

Benarkan semua rakyat Malaysia untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 dan kita mempunyai mentaliti seolah-olah negara sedang berperang serta bersatu menentang musuh bersama yang membunuh rakyat Malaysia setiap hari dan mengancam untuk memusnahkan fabrik sosial masyarakat Malaysia. – 17 Jun, 2021.

* Lim Kit Siang, ahli Parlimen Iskandar Puteri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen