AUSTRALIA hari ini menyarankan agar suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca tidak diberikan kepada mereka berusia di bawah 60 tahun.
Menteri Kesihatan Greg Hunt berkata, kebimbangan mengenai kemungkinan adanya kes darah beku menandakan Pfizer menjadi “vaksin pilihan” untuk mereka berusia di bawah 60 tahun.
Pihak berkuasa Australia melarang penggunaan vaksin AstraZeneca kepada mereka berusia lebih 50 tahun pada April selepas beberapa kes darah beku yang teruk mungkin berkaitan dengan vaksin berkenaan.
Larangan itu dibuat hari ini selepas seorang wanita berusia 52 tahun meninggal dunia akibat kes darah beku selepas menerima vaksin berkenaan.
Hunt mengakui langkah itu akan “mencabar” program vaksin negara yang sudah lama dijalankan, yang menyaksikan hanya tiga peratus penduduknya berjumlah 25 juta orang divaksinasi sepenuhnya setakat ini.
Berdepan kegelisahan masyarakat yang semakin meningkat mengenai program vaksinasi yang perlahan, kerajaan konservatif juga mengumumkan hari ini bahawa seorang pegawai kanan tentera, Leftenan Jeneral John Frewen akan mengetuai program vaksin persekutuan yang kini digelar operasi “Perisai Vaksin”.
Australia sudah banyak mengeluarkan dana dalam vaksin AstraZeneca, mengembangkan kemudahan untuk menghasilkan 50 juta dos di dalam negara.
Australia hanya mempunyai beberapa kes jangkitan komuniti dan menutup sempadannya untuk semua kemasukan kecuali untuk segelintir pelancong asing.
Melbourne menarik semula larangan perintah berkurung minggu lalu dan Sydney kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas tiga kluster berkaitan pemandu kru udara asing dikesan.
Beberapa kawasan di sekitar pantai Bondi yang terkenal dilaporkan sebagai titik panas jangkitan virus apabila mereka yang mengunjungi kawasan berkenaan diarahkan menjalani ujian dan tinggal di rumah selama dua minggu. – Bernama, 17 Jun, 2021.
Komen