Polis Hong Kong serbu pejabat akhbar Apple Daily


Polis tahan lima eksekutif Apple Daily pagi tadi termasuk ketua pengarangnya, Ryan Law mengikut undang-undang keselamatan negara. – Gambar EPA, 17 Jun, 2021.

POLIS Hong Kong menyerbu pejabat akhbar pro-demokrasi, Apple Daily pagi tadi dan menahan lima eksekutif termasuk ketua pengarangnya, Ryan Law mengikut undang-undang keselamatan negara.

Penahanan itu operasi terbaru polis ke atas tabloid popular yang menyokong gerakan pro-demokrasi di Hong Kong.

Polis berkata lima eksekutif ditahan kerana bersekongkol dengan negara asing atau unsur luar untuk membahayakan keselamatan negara.

Sumber polis mengesahkan kelima-lima individu ditahan ialah eksekutif Next Digital, iaitu syarikat induk Apple Daily.

Apple Daily mengesahkan Law antara yang ditahan dan menyiarkan rakaman langsung serbuan terbabit di akaun Facebooknya.

Ia serbuan kedua terhadap syarikat akhbar itu dalam tempoh kurang setahun.

Apple Daily dimiliki jutawan Jimmy Lai yang juga dikatakan penyokong pro-demokrasi dan lantang mengkritik pihak berkuasa.

Beliau ketika ini sedang dihukum penjara kerana dituduh menyertai tunjuk perasaan prodemokrasi di bandar raya itu dua tahun lalu. – AFP, 17 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen