Pemeriksaan tunjukkan tahap kesihatan Trump dalam keadaan baik


Walaupun tahap kesihatan mental Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sedang heboh diperkatakan, tiada ujian psikiatri dirancang dijalankan terhadapnya. – Gambar fail EPA, 13 Januari, 2018.

DOKTOR Donald Trump mengesahkan beliau berada dalam keadaan kesihatan yang sangat baik, selepas presiden berusia 71 tahun itu menjalani pemeriksaan kesihatan pertamanya sejak mengambil alih jawatan, kata White House.

“Peperiksaan fizikal presiden hari ini di Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed sangat luar biasa baik,” kata doktor, Ronny Jackson, yang dipetik berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh White House.

“Presiden berada dalam keadaan sangat baik,” tambah Jackson selepas pemeriksaan dijalankan di Washington. Beliau akan mengadakan taklimat awam pada Selasa.

Trump, yang berdepan persoalan mengenai diet dan kesihatan mentalnya, bergurau sebelum ujiannya berkata, ia perlu berjalan baik - demi pasaran saham.

“Saya fikir ia akan berjalan dengan baik,” katanya, sambil menambah beliau akan “terkejut jika ia sebaliknya.”

“Ia perlu baik, jika tidak pasaran saham tidak akan gembira,” katanya.

Pemeriksaan presiden sebelum ini merangkumi vital seperti ketinggian, berat badan, indeks jisim badan, kadar rehat jantung, tekanan darah dan ketepuan oksigen dalam darah.

Ia juga termasuk pemeriksaan lebih terperinci pada jantung, paru-paru, penglihatan, kolesterol dan glukosa darah yang mungkin menyebabkan masalah.

Ketika tahap kecergasan Trump untuk bertugas dipersoalkan, tiada ujian psikiatri dirancang, tetapi pemeriksaan sebelumnya sudah memasukkan pemeriksaan saraf, termasuk ujian fungsi motor.

Ia juga menyenaraikan sejarah perubatan, pembedahan masa lalu dan ubat-ubatan semasa yang diambil. – AFP, 13 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen