Bekas pesakit bergelut hadapi kesan Covid-19


Alfian Z.M. Tahir

Bekas pesakit Covid-19 Elias Dasuki koma selama hampir sebulan selepas dijangkiti virus itu tahun lepas. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Jun, 2021.

PERUBAHAN pada deria bau dan rasa, sesak nafas serta keletihan antara gejala berterusan yang dialami oleh bekas pesakit Covid-19 walaupun sudah pulih dari jangkitan virus.

Dikenali sebagai “Sindrom Pasca Covid-19 atau “Long Covid” menurut kajian, ia boleh berlanjutan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan selepas jangkitan hilang. Berapa lama untuk pulih sepenuhnya berbeza bagi setiap pesakit.

Seorang bekas pesakit, pengetua sekolah yang sudah bersara, Elias Dasuki memberitahu The Malaysian Insight bahawa selepas pulih, dia berterusan rasa keletihan, jantung berdebar-debar dan sakit dada.

Lelaki berusia 65 tahun itu koma selama hampir sebulan. Dia adalah antara kumpulan awal kes pada awal wabak melanda tahun lalu.

“Saya positif pada Mac 2020 dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru.

“Saya pulih tetapi berdepan sindrom pasca-Covid-19 selama kira-kira tiga bulan. Berat saya 47kg ketika saya keluar hospital. Sebelum itu berat saya 75kg.

“Sekarang saya sudah pulih sepenuhnya dan berasa sihat. Saya dapat bersenam dan makan dengan baik,” kata Elias.

Saiful Hisyam Md Salleh, yang merupakan calon PhD di Sheffield Hallam University di United Kingdom berkata bahawa dia hilang deria rasa selama hampir sebulan selepas sembuh. Dia positif Covid-19 pada Mei.

Semasa dijangkiti, pelajar komunikasi berusia 38 tahun itu berkata dia juga mengalami keletihan yang teruk dan sesak nafas.

“Gejala yang saya alami agak teruk. Saya mengalami sesak nafas teruk. Contohnya saya memerlukan waktu agak lama untuk menyelesaikan solat di waktu siang dan malam. Saya berasa letih walaupun saya melakukan kerja-kerja ringan,” katanya.

“Saya tidak dapat merasakan apa-apa atau bau apa-apa. Semuanya tidak berasa. Bahkan makan ramen Korea yang pedas pun tidak beri kesan apa-apa pada saya.

Saiful berkata bahawa dia pulih dari sesak nafas dan keletihan selama tiga minggu selepas bebas dari virus.

“Tetapi deria rasa saya baru kembali minggu lalu,” katanya.

Seorang lagi mangsa Covid-19, Najat Amer Nurdin, 31, yang diuji positif pada awal April tetapi tidak simptomatik.

Dia terus mengalami keletihan dan sakit kepala selepas pulih.

“Saya mudah letih. Selepas berjalan-jalan, saya akan berasa letih dan juga sakit kepala. Pada waktu pagi ketika saya bangun, saya akan batuk,” katanya.

Dia diberikan Panadol untuk menghilangkan sakit kepalanya itu dan kini kembali normal selepas kira-kira dua minggu.

Masih belum ada rawatan tetap untuk Covid-19 dan pesakit dengan gejala yang lebih ringan akan dirawat sesuai dengan apa yang ditunjukkan – Panadol untuk demam dan sakit kepala, ubat batuk untuk batuk.

Bekas pesakit Covid-19 Elias Dasuki berkata walaupun sudah pulih namun tetapi dia berdepan sindrom pasca-Covid-19 selama kira-kira tiga bulan. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Jun, 2021.

Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh pesakit yang pulih dengan sindrom pasca Covid-19 kecuali untuk makan dan kekal sihat serta memberi masa untuk badan pulih.

Bekas pesakit Dina berkata bahawa sesak nafas dan hilang selera makan adalah masalah utamanya selepas bebas dari virus.

“Saya mengambil masa tiga minggu untuk pulih dari sindrom pasca Covid-19,” katanya yang berusia 25 tahun dari Klang yang hanya mahu dikenali dengan nama pertamanya.

“Walaupun saya sudah bebas dari virus, saya masih berasa letih dan sukar bernafas. Saya juga tidak makan begitu banyak. Hanya tiga minggu kemudian saya lebih baik.

Dina berkata bahawa dia adalah kes asimtomatik ketika disahkan positif selepas mempunyai kontak rapat dengan orang yang dijangkiti. Dia disahkan positif semasa Hari Raya bulan lalu dan menghabiskan 10 hari di pusat kuarantin dan empat hari di rumah.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang juga seorang doktor perubatan berkata, mereka yang menderita “Long Covid” atau sindrom pasca Covid-19 kebanyakannya mengalami keletihan, penurunan fungsi paru-paru dan kehilangan deria bau antara kesan yang dihadapi mereka.

Mereka juga mungkin mengalami insomnia dan tekanan jiwa, tambahnya.

Tetapi mereka tidak akan berdepan masalah lain yang membahayakan organ lain seperti masalah buah pinggang atau diabetes, kat Dr Lee.

“Mereka akan pulih dari sindrom pasca Covid-19 tetapi kajian belum dapat menemui jawapan berapa lama ia akan berlanjutan.

“Koronavirus ini baru 18 bulan,” katanya memetik dari sebuah kajian di United Kingdom.

Menurut ujian klinikal Kementerian Kesihatan, kira-kira 662 bekas pesakit Covid-19 menderita Sindrom Pasca Covid-19.

Jumlah itu diambil dari 1,004 pesakit yang berada di kategori 4 dan 5 jangkitan serta yang menjalani rawatan susulan selepas mereka pulih.

Walaupun mereka pulih, Dina dan Najat kini bimbang untuk keluar rumah.

“Saya takut berada di luar. Saya mengelak untuk berada di tempat yang sesak,” kata Dina.

Najat juga merasakan adanya tanggapan buruk masyarakat terhadap bekas pesakit Covid-19.

“Saya ada menerima jemputan namun dibatalkan sebelum PKP kerana penganjur bimbang saya mungkin menjangkiti orang lain,” kata Najat.

Dina merasakan perlunya ada sesi kaunseling untuk pesakit pulih yang mengalami tekanan jiwa.

“Di pusat kuarantin, kami berbincang mengenai stigma yang dihadapi bekas pesakit. Bantuan juga harus diberikan kepada mangsa Covid-19 yang berjuang berdepan masalah mental,” tambah Dina. – 18 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen