BEKAS datuk bandar di utara Mexico dihukum penjara lapan tahun kerana bersubahat dalam pembunuhan seorang wartawan pada 2017, kata pendakwa semalam.
Mahkamah di Chihuahua pada Selasa menjatuhkan hukuman ke atas Hugo Amed Shultz, bekas datuk bandar Chinipas, yang ditahan pada Disember tahun lalu.
Hakim juga mengarahkan tertuduh membayar ganti rugi dan membuat permohonan maaf secara terbuka ke pada keluarga Miroslava Breach kerana bersubahat dalam pembunuhan wartawan itu, menurut kenyataan pendakwa.
Siasatan polis mendapati Amed Shultz, yang juga anggota Parti Tindakan Nasional, memberi maklumat kepada satu kumpulan jenayah terancang yang membunuh Breach.
Ogos lalu, Juan Carlos Moreno, juga dikenal sebagai “El Larry”, dihukum penjara 50 tahun selepas disabitkan bersalah menjadi dalang pembunuhan tersebut.
Badan pemantau antarabangsa Reporters Without Border menyenaraikan Mexico sebagai antara negara paling berbahaya di dunia bagi petugas media.
Breach, yang membuat liputan mengenai perang antara kartel dadah negara itu menjadi antara lebih 100 wartawan yang dibunuh sejak 2000. Kebanyakan pembunuh terlepas hukuman.
Breach, 54, ditemui mati di dalam keretanya dengan lapan kesan tembakan di kepala pada Mac 23, 2017. Beliau antara lain pernah menulis artikel mengenai anggota kartel yang mahu bertanding dalam pilihan raya. – AFP, 17 Jun, 2021.
Komen