Industri bunga RM500 juta terjejas kerana SOP bercanggah, kata pengusaha 


Khoo Gek San

Beberapa kawasan di Cameron Highlands dikenakan PKPD dari 14 Jun hingga 27 Jun.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Jun, 2021.

INDUSTRI tanaman bunga Cameron Highlands bernilai RM500 juta berdepan kerugian besar berikutan percanggahan SOP di bawah perintah kawalan pergedakan diperketatkan (PKPD), kata pengusaha.

Pengusaha memberitahu The Malaysian Insight mereka dibenarkan bekerja di kebun pada 13 Jun namun selepas Cameron Highlands dikenakan PKPD dari 14 Jun hingga 27 Jun, semua kerja terpaksa dihentikan.

Sejak sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan di seluruh negara bermula 1 Jun, pengusaha berkata mereka terpaksa hentikan pengeluaran yang mencecah ribuan ringgit sehari.

Industri bunga tidak termasuk dalam senarai 17 perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh.

Pada 12 Jun, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata industri bunga boleh beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh sekatan pergerakan dari 13 Jun selepas mendengar permintaan daripada industri.

Beliau menggesa semua pengusaha, terutamanya di Cameron Highlands, agar menghubungi pihak berkuasa tempatan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhuung keperluan prosedur operasi standard (SOP) untuk meneruskan operasi.

Pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan di Cameron Highlands menjejaskan pekebun sayur dan penanam bunga.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Jun, 2021.

Bagaimanapun pada hari yang sama, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di lima kawasan di Cameron Highlands iaitu di Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru.

Presiden Persatuan Pekebun India Cameron Highlands Mathan Subramaniam berkata PKPD menjejaskan 65% pekebun sayur dan 45% pengusaha tanaman bunga di Cameron Highlands.

“Selepas kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh, kedai bunga dilarang beroperasi.

“Pengusaha tanaman bunga di Cameron Highlands terpaksa membuang bunga mereka setiap hari. Mereka kerugian hampir jutaan ringgit.

“Dan bila kedai bunga akhirnya dibenarkan beroperasi, tiba-tiba PKPD dikuatkuasakan,” kata Mathan.

Beliau menggesa kerajaan untuk membenarkan sekurang-kurangnya seorang pekerja dan majikan untuk bekerja di setiap kebun daripada meninggalkannya.

Cameron Highlands sebelum ini merekodkan kluster tepat kerja Covid-19 Flora Blue Valley yang mencatatkan kes pertama dari pekerja asing yang bekerja sebagai penanam bunga.

49 pekerja dari kumpulan ini disaring dan 22 disahkan positif Covid-19. – 17Jun, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen