YANG di-Pertuan Agong mahu vaksinasi Covid-19 kepada rakyat dipercepatkan dan prosesnya dipermudahkan kerana ia satu-satunya jalan keluar daripada pandemik, kata Istana Negara.
Pada masa sama, Raja-Raja Melayu pula berpendapat program vaksinasi itu jangan sampai mengelirukan rakyat sehingga timbul tanggap ada muslihat politik di sebaliknya, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan berasingan.
“Seri Paduka Baginda (Yang di-Pertuan Agong) menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80% dapat dicapai seawal mungkin,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara.
Dua kenyataan berasingan itu dikeluarkan selepas persidangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, yang dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan keadaan semasa negara.
Perbincangan khas dihadiri oleh semua Raja-Raja Pemerintah kecuali Kelantan, sementara Perlis diwakili oleh Raja Muda, kata Syed Danial.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat fasa pemulihan negara keluar daripada pandemik, yang menetapkan sasaran untuk mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19 dan meningkatkan bilangan penduduk yang disuntik vaksin.
Dalam pada itu, Syed Danial berkata Raja-Raja Pemerintah mahu program vaksinasi lebih mudah difahami oleh rakyat supaya mereka menyokong tanpa ragu dan tiada tanggapan wujud muslihat politik.
Raja-Raja Pemerintah juga mahu Covid-19 ditangani secara inklusif sehingga meyakinkan semua pihak, tambahnya.
Program vaksinasi Covid-19 kini mensasarkan purata 150,000 dos sehari sebelum ditingkatkan dari bulan ke bulan sehingga mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini. – 16 Jun, 2021
Komen