PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) menyambut baik pengumuman Pelan Pemulihan Negara oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana ia adalah langkah ke hadapan untuk merancakkan semula sosioekonomi Malaysia yang telah lama terkesan akibat pandemik Covid-19.
Petronas dalam satu kenyataan hari ini berkata susulan daripada pengumuman itu Petronas telah membangunkan strategi yang sesuai untuk mengemudi dan memacu sektor-sektor dalam industri minyak dan gas dengan lebih jelas sebagai sebahagian daripada usaha negara untuk kembali kepada keadaan normal.
“Strategi-strategi ini akan merangkumi pemboleh perniagaan utama Petronas seperti penyedia perkhidmatan dan penggiat lain yang berkaitan dalam ekosistem industri,” katanya.
Bagi memastikan rancangan itu berjaya, Petronas berharap ia akan disokong kukuh oleh kepatuhan yang lebih baik dan penguatkuasaan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang koheren disertai dengan program vaksinasi pantas.
Sehubungan itu, Petronas akan terus memberi peringatan kepada tenaga kerjanya supaya mematuhi SOP sepenuhnya dan menjalinkan kerajasama erat dengan pihak berwajib untuk memastikan mereka segera diberi suntikan vaksin Covid-19.
“Petronas kekal komited untuk memelihara daya tahan serta kesinambungan perniagaannya bagi memastikan pertumbuhan Malaysia serta kesejahteraan rakyatnya,” katanya.– Bernama, 16 Jun, 2021.
Komen