POLIS mengenakan kompaun kepada lapan lelaki berjumlah RM12,000 selepas didapati mengadakan aktiviti persilatan di dalam sebuah rumah teres di Bandar Utama, Petaling Jaya tengah malam tadi.
Lapan individu berkenaan dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kesemua individu terbabit yang berumur lingkungan 26 hingga 51 tahun dikompaun kerana berkumpul dan ziarah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Bertindak atas maklumat awam, polis menyerbu lokasi itu pada 12.10 tengah malam sebelum hasil pemeriksaan mendapati sekumpulan individu sedang menjalankan aktiviti terbabit.
“Justeru, kesemua mereka dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai untuk mematuhi PKP 3.0 kerana kegagalan berbuat demikian membolehkan orang ramai dikompaun. – Bernama, 16 Jun, 2021.
Komen