Raja-Raja Melayu selesai perbincangan khas isu Covid-19, darurat


Sultan Johor meninggalkan Istana Negara, Kuala Lumpur setelah perbincangan khas Raja-Raja Melayu petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Jun, 2021.

RAJA-RAJA Melayu dipercayai selesai menghadiri perbincangan khas di Istana Negara mengenai keadaan negara sekarang di tengah perintah darurat yang diisytiharkan sejak lima bulan lalu untuk menguruskan pandemik Covid-19.

Istana Negara difahamkan akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai perbincangan khas itu, yang bermula pada 2.30 petang tadi.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilihat pertama sekali meninggalkan Istana Negara melalui Pintu 1 lebih kurang pukul 5.15 petang.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang hadir untuk memberi sembah taklimat kemudian menyusul keluar meninggalkan Istana Negara kira-kira pukul 6 petang.

Media difahamkan semua Raja-Raja Melayu hadir kecuali Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang mewakilkan Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pula tidak hadir, lapor Astro Awani.

Raja-Raja Melayu juga hari ini turut menerima sembah taklimat daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan antaranya Peguam Negara Idrus Harun, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh, dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Pegawai kanan lain yang dipanggil mengadap ialah Ketua Pengarah Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon.

Istana Negara di Kuala Lumpur petang ini ketika Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas mengenai keadaan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Jun, 2021.

Perbincangan khas hari ini diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima mengadap ketua-ketua parti politik untuk mendengar pandangan mereka mengenai keadaan semasa.

Al-Sultan Abdullah menerima mengadap 18 pemimpin politik sepanjang seminggu yang lalu, berakhir semalam.

Istana Negara semalam memaklumkan Al-Sultan Abdullah akan membawa kepada Raja-Raja Melayu semua pandangan yang disuarakan oleh 18 ketua parti politik kepada baginda berhubung pengurusan pandemik Covid-19.

Antara pandangan itu termasuk rayuan agar Parlimen dibuka semula segera, yang disuarakan oleh majoriti pemimpin serta penubuhan sebuah Majlis Pemulihan Negara yang dicadangkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat berkuat kuasa antara 11 Januari hingga 1 Ogos ini untuk membendung pandemik Covid-19.

Susulan itu, baginda turut memasyhurkan Ordinan Darurat yang antara lain menggantung Parlimen dan dewan undangan negeri serta menangguhkan pilihan raya. – 16 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen