Rakyat Iran bakal pilih presiden baharu


Pilihan raya itu dibuat ketika republik Islam itu sedang berunding dengan kuasa dunia untuk mengembalikan perjanjian nuklear 2015 yang dihalang oleh Amerika Syarikat. – Gambar AFP, 16 Jun, 2021.

RAKYAT Iran akan mengundi dan memilih presiden baharu pada Jumaat ini, dengan Ebrahim Raisi yang sangat konservatif dikatakan bakal menggantikan Hassan Rouhani yang moderat setelah sejumlah calon telah disingkirkan.

Pilihan raya itu dibuat ketika republik Islam itu sedang berunding dengan kuasa dunia untuk mengembalikan perjanjian nuklear 2015 yang disekat oleh Amerika Syarikat.

Kelihatan tidak meriah di Teheran, di mana poster kempen sangat jarang ketika para pemerhati tidak mengharapkan kejutan besar selain jumlah yang akan turun mengundi di seluruh negara dijangka sangat rendah kerana sudah lelah dengan krisis sosial dan ekonomi.

Calon berkurangan menjadi enam pada Rabu di mana hanya seorang reformis dibenarkan bertanding apabila bekas naib presiden Mohsen Mehralizadeh, mengundur diri dari bertanding, menurut media rasmi.

Kuasa tertinggi di Iran, di mana revolusi 1979 menjatuhkan monarki, terletak pada pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, namun presiden masih ada sedikit pengaruh terhadap isu-isu seperti dasar perindustrian hingga urusan luar negeri.

Rouhani menjalin hubungan baik dengan Barat. Namun sikap itu mendapat tentangan hebat pada 2018 ketika Washington di bawah Donald Trump menarik diri dari perjanjian program nuklear Iran selain mengenakan sekatan.

Pilihan raya tahun ini bersesuaian dengan rundingan di Vienna untuk menghidupkan kembali perjanjian nuklear 2015.

Bagaimanapun perjanjian itu mungkin tidak akan berjaya selagi presiden yang sesuai dipilih. Malah Tehran dan Washington telah menyuarakan kebimbangan mengenai perjanjian itu.

Negara dengan 83 juta penduduk itu disekat AS dari menjual minyak dan berdagang dengan banyak negara.

Susulan itu, Iran terjerumus ke dalam kemelesetan sementara Rouhani dan kemnya dikritik hebat oleh golongan konservatif kerana mempercayai Barat.

Iran menyaksikan rusuhan antikerajaan pada 2017 hingga 2019, namun ianya reda selepas pandemik muncul dan menyerang Iran sehingga menjadi negara paling teruk di rantau itu dilanda Covid-19. – AFP, 16 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen