PRESIDEN Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan bertemu buat kali pertama di Geneva pada Rabu, dengan bayangan Perang Dingin masih menghantui berikutan kebimbangan AS mengenai serangan siber Rusia dan apa yang dilihat oleh Rumah Putih sebagai gerakan autoritarian bahaya.
Mereka akan bertentang mata di Villa La Grange, sebuah vila mewah menghadap Tasik Geneva yang mungkin indah, namun secara diplomatiknya, melelahkan.
Rundingan dijangka memakan masa lima jam, bermula sekitar jam 1.00 petang, tanpa rehat untuk makan.
Putin akan tiba lebih awal di vila mewah itu, diikuti Biden, dengan Presiden Switzerland Guy Parmelin selaku tuan rumah.
Ketika ditanya sama ada kedua-dua pemimpin itu akan makan bersama, selalunya digambarkan sebagai sikap muhibah, seorang pegawai kanan AS mengatakan tidak.
“Tidak akan ada makan-makan bersama,” katanya, yang tidak mahu disebutkan namanya.
Geneva dipilih sebagai mengingatkan kembali pertemuan ketika Perang Dingin antara presiden AS Ronald Reagan dan pemimpin Soviet Mikhail Gorbachev pada 1985.
Vila itu yang dikelilingi rumput rimbun dengan latar belakang pergunungan, kini berada di bawah sistem keselamatan yang ketat.
Bot peronda kelabu kelihatan di sepanjang tasik dan pasukan bersenjata berjaga-jaga di jeti kapal layar berhampiran.
Kali ini, ketegangan dikatakan mengenai senjata nuklear strategik dan persaingan ideologi seperti apa yang dilihat oleh Biden sebagai rejim yang semakin bermusuhan dan melanggar peraturan.
Senarai tuduhan Washington terhadap Kremlin panjang sekali, dari serangan siber terhadap AS dan campur tangan dalam dua pilihan raya presiden AS yang lalu, hingga pelanggaran hak asasi manusia dan pencerobohan terhadap Ukraine dan negara-negara Eropah yang lain.
Putin, bagaimanapun, datang kerana Moscow dituduh mencabar hegemoni AS. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan dunia yang disebut “multi-polar” yang telah menyaksikan hubungan Rusia dan China lebih kuat.
Putin akan ke Geneva dari Moscow tepat sebelum bertemu presiden AS. Biden, dijangka tiba pada Selasa setelah pertemuan dengan NATO dan Kesatuan Eropah di Brussels, dan sidang kemuncak G7 di Britain. – AFP, 16 Jun, 2021.
Komen