Bilangan kluster tempat kerja naik sejak minggu pertama Jun, lapor KKM


Alfian Z.M. Tahir

BILANGAN kluster Covid-19 yang melibatkan tempat kerja, kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan meningkat antara minggu ke-22 (30 Mei hingga 5 Jun) dan minggu ke-23 (6 hingga 12 Jun), kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Statistik yang dikeluarkan hari ini menunjukkan terdapat 15 kluster baharu tempat kerja (92 kepada 107) dari minggu pertama hingga minggu berikutnya, dan dua kluster berisiko tinggi baharu (4 hingga 6) bagi tempoh yang sama

Kenaikan peratusan kluster tempat kerja adalah sebanyak 16.3% sementara kumpulan berisiko tinggi mencatat lonjakan 50%, kata infografik KKM.

Terdapat juga peningkatan sebanyak 2 atau 200% bagi kluster yang melibatkan pusat tahanan, dari 1 pada minggu ke-22 kepada 3 pada minggu 23.

Penurunan dicatatkan dalam kluster melibatkan komuniti, institusi pendidikan dan aktiviti keagamaan.

Kluster komuniti mencatatkan penurunan 31.9% daripada 47 kluster kepada 32, sementara kluster pendidikan menurun 70% dari 10 kepada 3, dan kluster aktiviti keagamaan turun 62.5%, dari 8 kepada 3.

Terdapat juga penurunan sebanyak 4.9% dalam kluster baharu secara keseluruhan, dengan 162 pada minggu ke-22 dan 154 pada minggu ke-23.

Tetapi terdapat peningkatan kluster aktif, dari 701 pada minggu ke-22, kepada 761 pada minggu ke-23.

Bagaimanapun, bagi jumlah kes daripada kluster terdapat penurunan sebanyak 46.4% dari 16,187 kes baharu pada minggu 22, kepada 8,684 kes pada minggu ke-23. – 16 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen