36 cedera letupan bom kereta di pangkalan tentera Colombia


Presiden Colombia Ivan Duque (tengah, kanan), dan Menteri Pertahanan Diego Molano (tengah, kiri) melawat kemudahan yang musnah akibat letupan bom kereta semalam. – Gambar EPA, 16 Jun, 2021.

LETUPAN bom kereta di sebuah pangkalan tentera di bandar Cucuta di Colombia mencederakan 36 orang semalam, kata pihak berkuasa dan menyalahkan serangan itu kepada gerila ELN.

Teori awal adalah anggota Tentera Pembebasan Nasional (ELN), kumpulan gerila terakhir dikenal pasti di negara itu, merupakan dalang serangan itu, kata Menteri Pertahanan Diego Molano, sambil mengecam “tindakan pengganas.”

Penglibatan gerila FARC yang enggan menandatangani perjanjian damai 2016 dengan kerajaan juga turut disiasat, tambah menteri itu.

Beberapa individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai awam memandu masuk ke pangkalan menaiki sebuah van Toyota berwarna putih petang semalam, kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

Mereka kemudian melancarkan dua letupan di dalam kenderaan.

Presiden Colombia Ivan Duque menulis di Twitter yang beliau ke lokasi letupan untuk melihat keadaan di sana.

Pada 2019, Duque membatalkan rundingan dengan ELN susulan serangan bom kereta di sebuah sekolah kadet di selatan Bogota yang mengorbankan 22 pelajar.

Cucuta, di timur laut Colombia berhampiran sempadan dengan Venezuela, adalah ibu negeri Norte de Santander, wilayah di mana ELN aktif bersama dengan bekas pejuang FARC.

Pelbagai kumpulan bersenjata bersaing untuk menguasai 41,000 hektar daun coca di rantau ini, dan juga mengawal laluan penyeludupan penting ke Venezuela dan Caribbean.

Colombia kini menyaksikan keganasan terburuk sejak menandatangani perjanjian damai dengan FARC, yang merupakan pemberontak paling kuat di Amerika Latin.

Negara ini terus berdepan konflik yang sejak hampir 60 tahun, meragut lebih 9 juta mangsa, sama ada maut, hilang atau hilang tempat tinggal. – AFP, 16 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen