TENTERA udara Israel melancarkan serangan ke Semenanjung Gaza pada awal Rabu selepas pejuang di wilayah Palestin melepaskan belon api ke Israel selatan, kata sumber keselamatan dan saksi.
Ia kejadian pertama antara Israel dan Gaza sejak gencatan senjata pada 21 Mei yang mengakhiri 11 hari pertempuran sengit yang mengorbankan 260 penduduk Palestin, menurut pihak berkuasa Gaza, dan 13 orang di Israel, kata polis dan tentera di sana.
Menurut sumber Palestin, tentera udara Israel menyasarkan sekurang-kurangnya satu lokasi di timur bandar Gaza selatan, Khan Younes.
Seorang wartawan foto AFP di Khan Younes menyaksikan letupan itu.
Pasukan Pertahanan Israel berkata ia sebagai tindak balas terhadap belon api dan jet pejuangnya menyerang markas tentera milik organisasi pejuang Hamas.
Ia menambah yang kemudahan dan tempat mesyuarat untuk operasi pejuang di Khan Younes menjadi sasaran.
Kira-kira 1,000 pangsapuri, pejabat dan kedai musnah dalam pertempuran terakhir pada Mei di Gaza, sebuah wilayah miskin dengan 2 juta penduduk yang dikawal pejuang Islam Hamas.
Insiden Rabu adalah serangan Israel yang pertama terhadap Gaza sejak kerajaan gabungan baharu mengambil alih pada Ahad, menggulingkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu selepas 12 tahun berkuasa.
Belon api, yang dikatakan oleh pasukan bomba tempatan menyebabkan kira-kira 20 kebakaran di selatan Israel, dihantar ketika lebih 1,000 penunjuk perasaan ultranasionalis yang membawa bendera Israel memenuhi Bandar Lama di Baitulmaqdis pada Selasa.
Amerika Syarikat dan PBB menyeru bertenang sebelum perarakan, yang dibenarkan oleh kerajaan perdana menteri Israel baharu Naftali Bennett.
Pegawai perubatan berkata 33 warga Palestin cedera dan polis berkata dua pegawai cedera dan 17 orang ditangkap.
Hamas mengancam membalas susulan perarakan itu, yang merayakan ulang tahun “penyatuan semula” Baitulmaqdis selepas Israel merampas Baitulmaqdis timur dari Jordan pada 1967 dan mendudukinya secara haram, tindakan yang tidak diakui oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa. – AFP, 16 Jun, 2021.
Komen