Saya akan ketuai asakan DAP Johor, kata Liew Chin Tong


Ikhwan Zulkaflee

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata beliau akan mengetuai DAP Johor untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.– Gambar The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

PENGERUSI DAP Johor Liew Chin Tong nafi akan meninggalkan negeri tersebut untuk bertanding di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

Ahli Parlimen Kluang itu berkata sebaliknya dia akan mengetuai asakan DAP di Johor bagi membantu Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Johor, kubu kuat parti tersebut di Semenanjung Malaysia. 

“Saya boleh cakap dengan pasti yang saya takkan tinggalkan Johor. Malah saya yang akan ketuai asakan DAP di Johor ini,” katanya yang ditemui selepas sidang media DAP di Pekan Nanas, Pontian hari ini. 

Liew bagaimanapun enggan mengulas lanjut di kerusi mana dia akan bertanding pada pilihan raya akan datang. 

Sebelum ini, cakap-cakap politik mengatakan Liew akan kembali bertanding di Pulau Pinang bagi mengukuhkan kepimpinan DAP di negeri tersebut ekoran kes mahkamah yang dihadapi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang berdepan tuduhan rasuah. 

Guan Eng semalam berkata yang dia mungkin tidak dapat bertanding pada PRU14 ekoran Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan tarikh perbicaraan kes rasuahnya pada Mac dan Mei depan.

“Saya tahu saya jadi sasaran,” kata setiausaha agung DAP tersebut kepada wartawan di Komtar, semalam. 

Liew sebelum ini merupakan ahli Parlimen Bukit Bendera, Pulau Pinang selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008.

Bagaimanapun pada Pilihan Raya Umum ke 13, beliau meninggalkan kerusi Parlimen Bukit Bendera yang dimenangi dengan majoriti 16,112 undi untuk bertanding di Parlimen Kluang.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Kluang selepas menewaskan calon Barisan Nasional Hou Kok Chung dengan majoriti 7,359 undi. – 12 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Wee Ka Siong dan khaled nordin mesti terberak dlm suar

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan