Korban akibat Covid-19 lepasi 4,000, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Angka korban hari ini menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat Covid-19 sebanyak 4,069. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 15 Jun, 2021.

JUMLAH keseluruhan korban Covid-19 hari ini mencecah lebih 4,000 selepas Kementerian Kesihatan melaporkan 101 lagi pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam setakat tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka kematian baharu itu melonjakkan jumlah korban menjadi 4,069, sejak Covid-19 dikesan di Malaysia pada hujung Januari 2020.

Jumlah kematian tertinggi adalah 126 kematian iaitu pada 2 Jun, diikuti 109 pada 6 Jun dan 103 pada 3 Jun.

“Sementara itu, jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) terus merekodkan jumlah tinggi sejak 39 hari dengan 922 kes.

“Seramai 450 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Terdapat sembilan kes maut sebelum tiba di hospital hari ini

Mangsa korban termuda hari ini wanita 29 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Mangsa mengalami penyakit jantung dan penyakit berkaitan darah.

Covid-19 turut meragut nyawa seorang lelaki berusia 91 tahun, mangsa paling tua dalam senarai hari ini. Mangsa menghidap tekanan darah tinggi, dislipidemia, masalah jantung dan penyakit buah pinggang kronik. Mangsa meninggal dunia di Hospital Melaka.

Lebih kurang separuh daripada kematian hari ini dilaporkan di Selangor (50 kes), diikuti Kuala Lumpur (11 kes), Johor (10 kes), Negeri Sembilan (8 kes) Labuan (4 kes).

Sabah, Pahang, Kedah, dan Kelantan masing-masing melaporkan tiga kematian manakala Sarawak dua kematian.

Pulau Pinang, Melaka, Terengganu, dan Perak masing-masing melaporkan satu kematian.

Sementara itu, 6,831 orang dilaporkan sembuh dalam 24 jam terakhir ini menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih 593,695.

Kes aktif berjumlah 70,112. – 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen