PEGAWAI terdekat dengan Vladimir Putin berkata hubungan Amerika Syarikat dan Rusia dalam “jalan buntu” namun pertemuan pertama minggu ini dengan Joe Biden di Switzerland dijangka dapat meredakan ketegangan.
Putin dan Biden akan bertemu di sebuah vila di Geneva pada Rabu dengan ketegangan memuncak kerana banyak pertikaian, dari serangan siber dan campur tangan pilihan raya sehingga pelanggaran hak asasi manusia.
“Hubungan Rusia-AS kini dalam jalan buntu, situasinya hampir kritikal. Sesuatu perlu dilakukan,” kata Yuri Ushakov, penasihat urusan luar negara Putin, kepada wartawan menjelang sidang kemuncak itu.
“Saya melihat pertemuan ini dengan optimis praktikal, tetapi tak banyak. Ini adalah pertemuan pertama dalam situasi sukar,” katanya.
Ushakov berkata, duta besar Rusia dan AS, yang pulang tahun ini di tengah ketegangan kerana sekatan, boleh kembali ke jawatan mereka dengan segera jika sidang kemuncak berjalan lancar.
“Ini akan menjadi pencapaian luar biasa jika duta besar dapat kembali bekerja,” katanya.
Ushakov berkata kedua-dua pemimpin akan membincangkan, antara lain, keselamatan siber, perubahan iklim dan konflik di Artik. – AFP, 15 Jun, 2021.
Komen