BEIJING pada Selasa berkata tidak ada perubahan pada tahap radiasi di stesen tenaga nuklear Taishan di selatan China, setelah pengendali Perancis berkata pihaknya berusaha untuk selesaikan isu berhubung gas.
“Tidak ada keabnormalan pada tahap radiasi di sekitar stesen tenaga nuklear, dan keselamatannya terjamin,” kata jurucakap kementerian luar negeri Zhao Lijian.
Penyiar Amerika Syarikat CNN melaporkan sebelum ini pemerintah AS sedang menilai laporan kebocoran di kilang di wilayah Guangdong setelah syarikat Perancis, Framatome, memberi amaran mengenai “ancaman radiologi yang akan segera terjadi”.
Framatome berkata dalam satu kenyataan kepada AFP, ia “membantu menyelesaikan masalah prestasi” di kilang itu namun menurut “data yang ada, kilang beroperasi dalam parameter keselamatan.”
EDF, pemilik utama Framatome, dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah meminta mesyuarat tergempar lembaga loji janakuasa itu.
Dihidupkan pada 2018, stesen tenaga nuklear Taishan adalah yang pertama di dunia menggunakan reaktor nuklear EPR generasi baharu - reka bentuk air bertekanan yang telah ditunda bertahun-tahun lamanya yang serupa di Britain, Perancis dan Finland.
Kini terdapat dua unit tenaga EPR di Taishan, terletak dekat dengan pantai Guangdong dan pusat kewangan Hong Kong.
Zhao menambah pada Selasa “loji tenaga nuklear China telah mengekalkan rekod operasi yang baik, dan tidak ada insiden yang mempengaruhi alam sekitar dan kesihatan awam.”
Pengendali stesen janakuasa China, Kumpulan Jeneral Tenaga Nuklear China berkata dalam satu kenyataan pada Ahad, “petunjuk persekitaran Loji Tenaga Nuklear Taishan dan sekitarnya adalah normal”, tanpa merujuk kejadian di stesen tersebut. – AFP, 15 Jun, 2021.
Komen