China bantu anggota IsDB bina makmal kesihatan awam


SATU perjanjian untuk membina makmal kesihatan awam antiwabak bagi anggota Bank Pembangunan Islam (IsDB) dimeterai antara Kementerian Luar China dan bank tersebut di sini, pada Isnin.

Duta Besar China ke Arab Saudi, Chen Weiqing semasa berucap pada majlis itu menyifatkan perpaduan dan kerjasama sebagai senjata paling hebat untuk melawan wabak.

Pada masa sama, beliau yang juga merangkap wakil China ke Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu turut menyuarakan keyakinan terhadap kemenangan dalam peperangan melawan pandemik Covid-19 dengan wujudnya usaha bersepadu antara China, negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa.

Sementara itu, Naib Presiden IsDB, Mansur Muhtar menzahirkan penghargaan kepada China atas bantuan yang diberikan khususnya kepada negara anggota IsDB yang paling ketinggalan dalam usaha melawan pandemik itu.

Beliau berharap kerjasama tersebut dapat menjadi titik tolak kepada usaha meningkatkan pertukaran dan kerjasama antara IsDB dengan China dalam pelbagai bidang di bawah kerangka kerjasama Selatan-Selatan.

Dalam perkembangan lain, Penolong Setiausaha Agung (hal ehwal sains dan teknologi) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Askar Mussinov menyifatkan perjanjian itu satu lagi bukti menunjukkan keakraban persahabatan dan kerjasama China dengan negara-negara Islam.

Beliau menyatakan, pihaknya bersedia bersama dengan IsDB meningkatkan pertukaran dan penyelarasan dengan China dalam bidang kesihatan, sains dan teknologi untuk bersama-sama melawan pandemik Covid-19. – Bernama, 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen