2 dekad penubuhan, SCO terus berkembang maju 


Pertubuhan Kerjasama Shanghai kini berkembang sebagai satu pertubuhan komprehensif di peringkat dunia.– Gambar EPA, 15 Jun, 2021.

MEMASUKI usia 20 tahun sejak ditubuhkan pada 2001, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) kini kian berkembang sebagai satu pertubuhan komprehensif di peringkat dunia.

Ketua Jabatan Pengajian Rusia, Eropah Timur dan Asia Barat di Institut Sains Sosial China, Sun Zhuangzhi menyatakan, sepanjang 20 tahun lalu SCO telah menjayakan konsep kerjasama keselamatan yang baharu dan berbeza dengan pertubuhan keselamatan serantau lain.

“SCO memfokuskan cabaran keselamatan yang menjadi perhatian semua anggota antaranya mengenai isu pengganas, pemisahan etnik, dan pelampau agama.

“Malah SCO juga menumpukan terhadap penyeludupan dadah dan jenayah di samping merangkumi cabaran keselamatan baharu termasuk keselamatan siber, maklumat, ekologi, sumber tenaga serta kewangan,” ujar Sun sempena ulang tahun ke-20 SCO.

Menurut beliau, kerjasama SCO dalam bidang keselamatan ketenteraan turut dianggap agak pragmatik selain berpegang kepada prinsip penting iaitu tidak menyasarkan pihak ketiga, dan menjadi persekutuan politik ketenteraan.

“Dalam tempoh 20 tahun juga, ‘semangat Shanghai’ iaitu saling mempercayai, saling menguntungkan, kesamarataan, perbincangan, menghormati pelbagai tamadun dan pembangunan bersama turut memainkan peranan yang penting dalam menangani pertikaian antarabangsa, mendorong diplomatik serta interaksi antara rakyat,” jelas Sun lagi.

Katanya, selepas pelbagai kemajuan dicapai, SCO yang dahulunya dianggotai enam negara kini bertambah menjadi lapan negara, selain mempunyai empat negara pemerhati dan enam negara rakan dialog.

Profesor Eyup Saritas dari Universiti Istanbul menyatakan antara keunikan SCO ialah ia beroperasi dengan mengamalkan konsep situasi sama menang yang mengambil berat terhadap permintaan semua anggota dan rakan kerjasamanya.

Turki merupakan antara negara rakan dialog SCO.

Dalam bidang kerjasama ekonomi dan perdagangan, jumlah keseluruhan ekonomi SCO telah menghampiri AS$20 trilion (RM82 trilion), peningkatan lebih 13 kali ganda berbanding ketika baru ditubuhkan.

Sementara itu, jumlah perdagangan luar pula direkodkan mencecah AS$6.6 trilion (RM27 trilion) bertambah 100 kali ganda berbanding 20 tahun lalu. – Bernama, 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen