Prayuth terus berkhidmat sehingga penggal berakhir


Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata akan terus memegang jawatan itu sehingga penggal empat tahun tamat pada 2023 walaupun berdepan tuntutan supaya melepaskan jawatan. – Gambar EPA, 15 Jun, 2021.

PRAYUTH Chan o-cha berkata akan terus menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Thailand sehingga tempoh penggal tamat sekali gus mengakhiri spekulasi beliau mungkin membubarkan Parlimen dan mengadakan pilhan raya awal.

Prayuth, merangkap Menteri Pertahanan, berkata akan terus memegang jawatan itu sehingga penggal empat tahun tamat pada 2023 walaupun berdepan tuntutan supaya melepaskan jawatan. 

Semua kritikan yang dilemparkan terhadapnya menguatkan lagi tekad untuk terus mentadbir, katanya  seperti dipetik Bangkok Post.

Tempoh pentadbiran kerajaan pimpinan Prayuth mencapai separuh penggal pada Mac tahun ini.

Spekulasi pembubaran Parlimen timbul selepas Prayuth bercakap kepada kabinet pada Selasa bahawa  “kerajaan hanya berbaki setahun untuk memerintah” dan mereka harus menyegerakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Ucapannya kemudian ditafsirkan sebagai kerajaan sedang bersedia untuk membubarkan Parlimen. – Bernama, 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen