Duterte tolak kerjasama dalam siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa


Presiden Filipina Rodrigo Duterte “tidak akan bekerjasama” dalam siasatan berkaitan pembunuhan sewaktu memerangi dadah di negaranya seperti yang mahu dijalankan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). – Gambar AFP, 15 Jun, 2021.

PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte “tidak akan bekerjasama” dalam siasatan berkaitan pembunuhan sewaktu memerangi dadah di negaranya seperti yang mahu dijalankan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata jurucakapnya.

Ketua Pendakwaraya Fatiu Bensouda semalam meminta hakim di satu-satunya mahkamah jenayah perang tetap di dunia untuk membenarkan siasatan terhadap tuduhan bahawa polis Filipina membunuh puluhan ribu orang awam secara tidak sah antara 2016 dan 2019.

Duterte yang terpilih pada 2016 menerusi kempen berjanji menghapuskan masalah dadah di negara itu dan secara terbuka mengarahkan polis membunuh suspek dadah jika nyawa mereka dalam bahaya.

“Presiden tidak akan pernah bekerjasama sehingga tamat penggalnya pada 30 Jun 2022,” kata Harry Roque kepada wartawan.

Filipina keluar ICC pada 2019 selepas mahkamah melakukan pemeriksaan awal terhadap perang dadah. Bensouda berkata pihaknya masih dapat menyiasat jenayah yang dilakukan semasa negara itu menjadi anggota.

“Maklumat yang ada menunjukkan anggota Polis Nasional Filipina dan yang lain yang bertindak bersama mereka membunuh secara tidak sah beberapa ribu sehingga puluhan ribu orang awam dalam tempoh siasatan,” kata Bensouda.

Lebih 6,000 orang terbunuh dalam lebih 200,000 operasi anti-dadah yang dilakukan sejak Julai 2016, menurut data rasmi.

Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan jumlah kematian mungkin lebih tinggi.

Ramai suspek dimasukkan ke dalam “senarai pemerhatian dadah” oleh pegawai tempatan dan kemudian polis datang ke rumah – situasi yang sering berakhir dengan penembakan oleh pegawai yang mendakwanya sebagai cara untuk membela diri.

Kumpulan hak asasi mengalu-alukan permintaan Bensouda dengan Amnesty International menggambarkan siasatan ICC sebagai “langkah penting”. – AFP, 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen