Dr Mahathir: Kalau bukan saya, nanti Kit Siang jadi PM


Ikhwan Zulkaflee

Presiden Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad bersama isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali hadir pada Majlis Jasamu Dikenang anjuran Pertubuhan Kebajikan Prihatin Suara Tanjung Piai di Kukup Golf & Country Resort Club hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

CALON Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berhasrat untuk menjadi perdana menteri semula kerana tidak pernah berehat dari berpolitik sejak 1945. 

Dr Mahathir berkata beliau pada mulanya enggan menerima pencalonan sebagai perdana menteri seperti dikehendaki ramai pihak dalam PH.

Namun akhirnya beliau terpaksa akur dengan suara ramai yang mahukannya menjadi perdana menteri Malaysia ketujuh, katanya.

“Saya dah penat. Saya tak pernah berehat sejak 1945 lagi. Ketika Umno baru ditubuhkan saya dah sertai parti. 

“Bukan saya nak jadi perdana menteri (lagi). Kalau boleh, saya tak mau lagi tapi nanti orang kata (Ketua Parlimen DAP Lim) Kit Siang akan jadi perdana menteri pula,” katanya dengan sinis.

Pengerusi PH itu membuat sindiran tersebut ketika hadir dalam satu acara di Tanjung Piai, salah satu kerusi dalam 22 kawasan Parlimen yang sedang dibidik PH. 

Beliau hadir dalam program jelajah di Johor hari ini dengan misi sukar untuk mendapatkan kepercayaan warga Melayu di negeri itu yang rata-ratanya takut pada kekuatan DAP.

Antara faktor yang mendorong kepada kebimbangan itu adalah dakwaan bahawa penasihat Kit Siang akan menjadi perdana menteri sekiranya PH berjaya menumbangkan BN dalam pilihan raya akan datang. 

Hadir sama dalam acara hari ini ialah Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong. 

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau juga tidak dapat berehat dari politik walau melepaskan kuasa 15 tahun lalu kerana tidak tahan dengan tindakan pengganti pilihannya.

Katanya, Perdana Menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi gagal mentadbir dengan baik termasuk membatalkan projek dirancangnya termasuk jambatan bengkok yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura. 

“Selepas seminggu saya melepaskan jawatan, Pak Lah (Abdullah) batalkan projek-projek dirancang ketika pentadbiran saya walaupun dah berjanji untuk meneruskannya. Macam mana kita nak ada perdana menteri macam ini,” soalnya. 

Ahli politik berusia 93 tahun tersebut turut mengulangi bahawa dia hanya menyokong Najib Razak sebagai perdana menteri kerana mengenang jasa arwah bapanya, Razak Hussein. 

“Tapi, Najib tak sama macam bapa dia yang dikenali sebagai bapa pembangunan,” katanya lagi yang turut membangkitkan mengenai tindakan Najib dan isu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir juga berkata beliau masih belum membuat keputusan mengenai kerusi yang akan ditandinginya. 

“Saya belum buat keputusan, di Langkawi ini Umno tak pernah kalah,” katanya lagi dalam Majlis Jasamu Dikenang anjuran Pertubuhan Kebajikan Prihatin Suara Tanjung Piai di Kukup Golf & Country Resort Club petang ini.– 12 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen