Petronas mula siasat kebocoran paip gas


Desmond Davidson

Foto dari Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan sebuah paip pecah terkeluar dari tanah di mana satu runtuhan kecil berlaku. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

PETRONAS serta wakil dari agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan telah memulakan penyiasatan terhadap kebocoran gas pada Rabu pada Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP), menurut syarikat itu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Awang Tengah Ai Hassan berkata laporan awal yang diperolehinya menunjukkan berlaku pecahan saluran paip yang disebabkan oleh “pergerakan tanah”.

“Pergerakan tanah mungkin telah menyebabkan saluran paip itu bengkok dan pecah,” beliau memberitahu The Malaysian Insight selepas menghadiri mesyuarat MajlisTertinggiBarisan Nasional (BN) di Petra Jaya hari ini.

Gambar-gambar yang diberikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan sebuah paip pecah terkeluar dari tanah di mana satu runtuhan kecil berlaku.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua berkata, beliau akan meminta taklimat terperinci mengenai kejadian itu dari Petronas.

Menurut beliau, tiada pemindahan diarahkan kerana kebocoran yang dikesan pada kira-kira 1.45 pagi itu terletak kira-kira 2km dari penempatan berdekatan.

Dalam satu kenyataan, Petronas berkata lokasi kebocoran itu terletak di KP181.9 SSGP berhampiran Long Luping.

Long Luping terletak lebih 80km dari bandar Lawas.

“Kami akan mulakan usaha pemulihan dalam tempoh terdekat.

“Semua langkah yang perlu diambil sudah dijalankan dengan kerjasama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan penduduk tempatan bagi memastikan keselamatan penduduk di sekelilingnya pada setiap masa,” kata Petronas dalma satu kenyataan.

Pada Jun 2014, kebocoran sama berlaku di Bukit Beriwen, kira-kira 20km dari bandar Lawas hingga meletup dan ia boleh didengar di daerah Temburong di Brunei dan sehingga ke bandar pesisir Sepitang di Sabah.

Paip sepanjang 512km itu siap pada 2014 bagi mengangkut sehingga 600 juta kaki padu gas sehari dari Terminal Gas dan Minyak Sabah di Kimanis ke kompleks LNG Petronas di Tanjung Kidurong, Bintulu untuk pencecairan. – 12 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen