SEORANG lelaki yang didakwa melanggar sebuah keluarga Islam memggunakan trak pikap pada 6 Jun lalu dikenakan pertuduhan keganasan, kata pendakwa semalam dalam serangan yang dikecam sebagai “pengganas” oleh Perdana Menteri Justin Trudeau.
Empat ahli keluarga Afzaal – seorang lelaki dan isterinya, anak perempuan dan ibunya keluar berjalan-jalan di London, Ontario pada 6 Jun sebelum pemandu trak menyerang mereka dengan sengaja, menurut pihak berkuasa.
Pendakwa mendedahkan dalam pendakwaan bahawa mereka menambah tuduhan keganasan ke atas empat tuduhan pembunuhan yang dirancang dan satu cubaan membunuh dilakukan minggu lalu terhadap Nathaniel Veltman, 20.
“Peguam Negara Persekutuan dan wilayah bersetuju memulakan prosiding keganasan dengan mendakwa bahawa pembunuhan serta cubaan membunuh itu juga merupakan kegiatan pengganas,” kata Polis Diraja Kanada (RCMP) dalam satu kenyataan selepas perbicaraan.
Veltman yang tidak mempunyai rekod jenayah dan belum diketahui sama ada terbabit dalam sebarang kumpulan pelampau memberitahu mahkamah menerusi pautan video bahawa dirinya tidak diwakili peguam.
Dia belum membuat pengakuan setakat ini dan dijadualkan hadir semula ke mahkamah pada 21 Jun depan.
Seorang anak perempuan Afzaal yang berusia 9 tahun yang terselamat mengalami kecederaan parah dalam serangan yang berlaku di kawasan kejiranan mereka di bandar London, kira-kira 200 kilometer barat daya Toronto.
“Pembunuhan itu bukan satu kemalangan. Ia adalah satu serangan pengganas yang didorong oleh kebencian,” kata Trudeau dalam ucapan di Dewan Rakyat.
Serangan itu mendatangkan perdebatan hangat mengenai gejala Islamofobia di Kanada sekali gus menambah rasa kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam berhubung risiko mereka dijadikan sasaran.
Ini merupakan serangan anti-Muslim yang paling berdarah selepas kejadian tembakan di sebuah masjid di bandar Quebec yang meragut enam nyawa pada 2017.
Timbalan Perdana Menteri Kanada, Chrystia Freeland turut menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan keganasan.
“Adalah penting untuk kita mengenal pasti ini sebagai satu tinakan Islamofobia dan penting untuk kita mengenal pasti ancaman dahsyat supremasi kulit putih terhadap Kanada dan rakyat di negara ini,” katanya pada sidang media. – AFP, 15 Jun, 2021.
Komen