Angka korban letupan gas di China meningkat 25 orang


Tangkap layar rakaman video yang tular dan laporan Beijing News menunjukkan beberapa bangunan musnah teruk akibat kejadian itu. – Gambar YouTube, 15 Jun, 2021.

ANGKA kematian akibat letupan gas yang melanda kawasan perumahan di wilayah Hubei, China meningkat kepada 25 orang, lapor media Beijing semalam ketika pihak berkuasa meneruskan operasi menyelamat.

Beberapa bangunan runtuh dan lebih 100 orang cedera dalam letupan itu yang berlaku di sebuah bangunan dua tingkat pada Ahad lepas.

Pejabat maklumat Hubei semalam berkata jumlah kematian kini meningkat kepada 25 orang – meningkat dua kali ganda daripada jumlah sebelumnya, kata agensi berita Xinhua yang dikendalikan oleh kerajaan.

Kira-kira 2,000 pekerja penyelamat dikerahkan di lokasi dengan 900 orang dipindahkan apabila bangunan di sekitranya rosak akibat letupan itu, kata kerajaan.

Letupan itu berlaku di sebuah bangunan yang sebelum itu menempatkan pengeluar bingkai kenderaan.

Beberapa mangsa yang selamat berkata saluran paip gas rosak selepas kilang tersebut dipindahkan tahun lalu.

“Pada Mac, pekerja dari syarikat gas datang dan bertanya sama ada saya ada terbau gas,” kata seorang mangsa yang terselamat kepada laman web tempatan Health Times.

“Selepas bertanya-tanya, mereka pergi begitu saja,” katanya.

Kemalangan industri adalah perkara biasa di China kerana standard keselamatan yang lemah dan rasuah dalam kalangan pegawai yang ditugaskan.

Letupan yang berlaku pada Ahad lalu mendorong kenyataan yang jarang dibuat oleh Presiden China Xi Jinping yang menggesa pegawai tempatan untuk “mengambil pengajaran mendalam dalam kejadian itu”. – AFP, 13 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen