PIHAK berkuasa Tunisia pada Jumaat berkata jumlah yang ditahan dalam protes di negara itu hampir mencecah 800 orang, berikutan pergolakan dalam bantahan terhadap langkah penjimatan yang diperkenalkan di negara itu.
Aktivis menggesa protes besar-besaran pada Jumaat berhubung langkah yang diperkenalkan pada permulaan tahun baharu yang dijangka akan menyebabkan kenaikan harga barangan di negara itu.
Wakil AFP di utara bandar Suliana melaporkan, polis bertindak menembak gas pemedih mata ke arah sekumpulan belia yang membaling batu ke arah pasukan keselamatan itu yang mana pertembungan itu berlarutan selama tiga jam.
Namun situasi dilaporkan tenang di beberapa bandar lain dan kejiranan di seluruh negara itu selepas pertempuran yang menyebabkan puluhan anggota polis cedera.
Jurucakap kementerian dalam negeri Khalifa Chibani berkata, 151 orang ditahan pada Khamis, dan jumlahnya meningkat kepada 778 orang kerana didakwa terbabit dalam keganasan sejak ketegangan tercetus beberapa malam lalu.
Chibani memberitahu radio tempatan, pertempuran antara golongan remaja dan anggota polis itu “terpencil” dan “tidak serius”, dan menegaskan tiada tindakan keganasan atau kecurian direkodkan pada petang Khamis.
Tunisia dianggap sebagai kisah kejayaan yang jarang berlaku dalam pemberontakan Arab Spring yang bermula di negara Afrika Utara pada tahun 2011 dan merebak di rantau ini, menggulingkan autokrat.
Namun pihak berkuasa gagal menyelesaikan isu kemiskinan dan pengangguran.
Protes adalah perkara biasa di Tunisia pada Januari, apabila orang ramai memperingati ulang tahun revolusi yang menggulingkan pemimpin diktator Zine El Abidine Ben Ali. – AFP, 12 Januari, 2018.
Komen