Tehran beri kelulusan darurat untuk vaksin buatan Iran


Lebih 4.3 juta penduduk di Iran sudah menerima dos vaksin pertama Covid-19 sejak kempen tersebut dimulakan pada Februari tetapi kurang dari satu juta menerima dua suntikan yang diperlukan. – Gambar EPA, 15 Jun, 2021.

IRAN semalam berkata mereka sudah memberikan persetujuan darurat untuk vaksin yang dihasilkan dalam negeri bagi memerangi wabak koronavirus di Timur Tengah.

Media Iran melaporkan bahawa langkah itu bertujuan mengatasi masalah kekurangan vaksin yang diimport dan membolehkan mereka yang sudah menerima dos pertama vaksin untuk menerima dos kedua.

“Persetujuan darurat vaksin akan digunakan dalam program vaksinasi nasional mulai minggu depan,” kata Menteri Kesihatan Said Namaki yang dipetik menerusi laman web kementeriannya.

Vaksin dengan nama penuh COVIran Barekat dikembangkan oleh yayasan milik negara yang dikenali sebagai Setad.

Seorang pegawai dari yayasan itu memberitahu agensi berita IRNA bahawa pengeluaran vaksin dimulai awal Jun dengan “sekitar tiga juta dos” dihasilkan sehingga kini.

Iran terjejas akibat pandemik koronavirus yang membunuh lebih 82,000 orang dengan lebih tiga juta orang dijangkiti, menurut angka rasmi.

Terkesan oleh sekatan Amerika yang menyukarkan mereka melakukan pengiriman wang ke syarikat asing, Tehran berkata mereka sedang berjuang mengimport vaksin untuk 83 juta penduduknya.

Kementerian kesihatan berkata lebih 4.3 juta orang sudah menerima dos vaksin pertama sejak kempen tersebut dimulakan pada Februari tetapi kurang dari satu juta menerima dua suntikan yang diperlukan.

Iran menjalankan ujian klinikal ke atas empat vaksin lain terhadap Covid-19. – AFP, 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen