England tangguh tarikh longgarkan sekatan Covid-19 sebulan lagi


Jumlah kes yang dilaporkan di United Kingdom kini berada pada tahap tertinggi sejak Februari – sekitar 8,000 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh sehari. – Gambar EPA, 15 Jun, 2021.

PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson semalam mengumumkan penangguhan tarikh kelonggaran sekatan penuh koronavirus selama empat minggu lagi di England susulan lonjakan jangkitan yang disebabkan oleh varian Delta.

Lanjutan perintah sekatan itu menganggu rancangan Johnson untuk membuka semula sepenuhnya ekonomi UK pada 21 Jun selepas berbulan-bulan mengurangkan sekatan secara perlahan-lahan sejak Mac.

Surat Khabar sudah menghitung “Hari Kebebasan” yang menandakan pengakhiran semua sekatan jarak sosial dan pembukaan semula kelab malam.

Dasar kesihatan dibahagikan kepada empat negara yang dikendalikan secara terpisah di England, Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Scotland yang dijadualkan berada di tahap sekatan terendah pada 28 Jun juga diharapkan akan mengumumkan penundaan pembukaan semula ekonomi.

Di England, peraturan yang paling terkini – termasuk had jumlah yang dapat masuk di pub dan restoran akan tetap dikuatkuasakan sehingga 19 Julai walaupun sekatan bagi jumlah tetamu yang dibenarkan pada majlis perkahwinan akan ditarik semula.

Acara berskala besar seperti perlawanan bola sepak Euro 2020 juga akan berlangsung seperti yang dirancang.

Varian Delta yang lebih muda dijangkiti, pertama kali dikenal pasti di India kini menjadi penyebab 96 peratus kes di UK dan ujian positif melonjak 50 peratus pada minggu lalu.

Jumlah kes yang dilaporkan kini berada pada tahap tertinggi sejak Februari – sekitar 8,000 jangkitan baharu sehari.

Varian Delta dipercayai sekitar 60 peratus lebih mudah menular daripada varian Alpha yang pertama kali dikenal pasti di Kent, tenggara England.

Varian itu menyebabkan negara berkenaan melaksanakan sekatan penuh selama tiga bulan bermula Januari.

Walaupun begitu, kemasukan dan kematian di hospital berada pada tahap rendah, sebahagian besarnya disebabkan vaksinasi Britain yang cepat.

Lebih 55 peratus orang dewasa di UK sudah mendapatkan dua dos vaksin Covid-19. – AFP, 15 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen