Harga sayuran naik berikutan PKPD di Cameron Highlands, kata persatuan 


Khoo Gek San

Kebanyakan pekerja tidak dapat ke kebun mereka berikutan oelaksanaan PKPD di Kampung Raja, Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Jun, 2021.

HARGA bagi 20 jenis sayur-sayuran dijangka akan naik berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands yang menyebabkan banyak kebun ditutup, kata pekebun dan pemborong. 

Menurut pekebun, PKPD menyebabkan sukar untuk mereka menjaga kebun mereka di lima kawasan di Kg Raja, iaitu Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina dan Kampung Baru.

Pelaksanaan PKPD di kawasan terlibat berkuatkuasa sehingga 27 Jun. 

Mereka kini merayu kepada Putrajaya agar membenarkan pekerja yang disahkan negatif Covid-19 untuk meneruskan kerja-kerja di kebun yang mana menurut mereka ia akan memastikan bekalan tidak terganggu. 

Setiausaha Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands Chay Ee Mong berkata ramai pekebun sayur memohon pajakan tanah untuk menanam sayur-sayuran dan bunga di Lojing, Kelantan berikutan tanah yang terhad di Cameron.

Penanaman sayuran melalui pengairan titisan memerlukan pekerja untuk mengairi tanaman bagi mengelakkan ia mati. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Jun, 2021.

Beliau berkata pekebun tidak dapat melakukan perjalanan untuk ke kebun di Lojing yang mempunyai tanaman seperti tomato, timun Jepun, cili dan lada benggala. 

“Kami berunding dengan polis dan dianggarkan 500 pekebun sayur dan 560 tan bekalan harian sayur-sayuran dari Cameron Highlands terjejas. Dan kebiasaannya harga sayur-sayuran akan naik, dan ia tidak dapat dielakkan.”

Cameron Highlands sebelum ini melaporkan kluster Covid-19 tempat kerja Flora Blue Valley yang merekodkan kes pertama daripada pekerja asing yang bekerja sebagai penanam bunga. 

Sejumlah 49 orang dalam kumpulan ini disaring dan 22 didapati positif. 

Chay berkata Flora Blur Valley merupakan laluan utama untuk mengangkut hasil dari Cameron ke pelbagai kawasan. 

“Kini sekatan jalan raya dibuat, logistik terjejas. 40% sayur dari Cameron dihantar ke Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dan pasar raya lain. 

Seorang pekerja memeriksa tanaman sayur di sebuah kebun di Kampung Raja, Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Jun, 2021.

“Kami cuba mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengatasi masalah ini kerana kerugian dalam sehari adalah kira-kira RM1.3 juta.”

Beliau juga berkata tanaman yang ditanam menggunakan pengairan titisan yang memerlukan air disalirkan setiap hari. 

Di bawah PKPD, tanaman boleh rosak dalam masa tiga hari sekiranya pekebun tidak dibenarkan ke kebun utnuk mengairi tanaman mereka. 

“Ia mengambil masa empat bulan untuk menuai tomato selepas ditanam. Jika semua kebun tomato rosak, bekalan tomato akan terputus sekurang-kurangnya empat bulan. 

“Kemudian terdapat 20 sayuran lain termasuk lada, lada benggala, timun Jepun, kobis dan kacang hijau, sayur berdaun yang akan rosak,” kata Chay.– 15 Jun, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen