Kluster tempat kerja bertambah, 70% libat pekerja asing


Ravin Palanisamy

Kebanyakan kes positif dari tempat kerja melibatkan warga asing, dengan sektor pembuatan menyumbang sebahagian besar kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan melaporkan jumlah mengejutkan sebanyak 147,040 kes Covid-19 yang dikesan daripada 1,328 kluster tempat kerja setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebanyakan kes positif dari tempat kerja melibatkan warga asing, dengan sektor pembuatan menyumbang sebahagian besar kes.

“Sebilangan besar kes positif yang dilaporkan dari kluster tempat kerja terdiri daripada bukan warganegara yang berjumlah 100,086 kes (68%) berbanding dengan rakyat Malaysia yang melaporkan 46,954 kes (32%).

“Sektor pembuatan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja, dengan 95,156 kes yang melibatkan 639 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata walaupun trend kes mingguan di Malaysia menunjukkan penurunan bagi tempoh dua minggu terakhir, kluster tempat kerja terus menyumbang kepada penambahan kluster baharu di negara ini.

Beliau berkata antara kluster aktif yang melaporkan jumlah kes yang tinggi, empat daripadanya adalah kilang.

Jalan Tiga Salak Tinggi di Selangor melaporkan 873 kes, diikuti oleh Industri Senawang yang tersebar di seluruh Negeri Sembilan dan Melaka dengan 752 kes, Industri Batu Berendam di Melaka dengan 641 kes, Jalan Padang Tembok melibatkan Kelantan dan Terengganu dengan 598 kes. Kesemuanya membabitkan kilang.

Satu-satunya kluster yang berada dalam senarai lima teratas, yang tidak berkaitan dengan kilang, adalah kluster Tok Has di Terengganu, yang dikesan di kalangan pekerja restoran, dengan 541 kes.

Noor Hisham berkata usaha berterusan majikan dalam melakukan ujian saringan terhadap pekerja sangat dihargai, sebagai langkah awal untuk membendung penyebaran jangkitan di tempat kerja.

“Kementerian sudah menetapkan pelbagai garis panduan dan SOP di tempat kerja seperti penjarakan fizikal, mengehadkan jumlah pekerja yang hadir di tempat kerja, dan lain-lain.

“Namun, didapati tahap kesedaran mengenai pentingnya pelaksanaan SOP masih perlu ditingkatkan.

“Masyarakat, terutama majikan dan pekerja, perlu menyedari pematuhan terhadap garis panduan itu juga demi kebaikan mereka sendiri,” katanya.

Noor Hisham berkata SOP di tempat kerja harus dipertingkatkan lagi bagi mengekang penyebaran jangkitan Covid-19. – 14 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen