921 pesakit Covid-19 di ICU, kes aktif mula menurun


Ravin Palanisamy

Kes aktif Covid-19 terus menurun apabila mencatatkan sebanyak 6,588 pesakit pulih berbanding 4,949 kes baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2021.

MALAYSIA melaporkan 921 kes Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) hari ini, memecahkan rekod sebelumnya sebanyak 917 kes semalam.

Dengan ini, Malaysia terus mencatat rekod kes ICU setiap hari sejak 5 Mei, menjadikannya hari ke-41 berturut-turut dengan jumlah harian tertinggi baharu.

Selain itu, jumlah pesakit memerlukan bantuan pernafasan juga meningkat dari 452 semalam kepada 459 orang, sementara rekod bagi pesakit ini sebanyak 462 orang, yang dilaporkan pada 10 Jun, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata 60 kematian dilaporkan hari ini, menjadikan ia sebanyak 3,968, hanya kurang 32 untuk mencecah 4,000 orang.

Bagaimanapun, kes aktif terus menurun apabila mencatatkan sebanyak 6,588 pesakit pulih berbanding 4,949 kes baharu.

Kes aktif kini berjumlah 71,625.

Mengulas lanjut mengenai kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 18 kematian, diikuti Johor dengan sembian kematian dan lapan kematian di Kuala Lumpur.

Negeri lain yang turut melaporkan kes kematian adalah Negeri Sembilan (7), Sarawak (6), Labuan (4), Pulau Pinang dan Kelantan (2), Sabah, Terengganu, Perak dan Melaka (1).

Daripada tiga kes kematian di luar hospital, dua adalah dari Kelantan.

Mangsa paling tua yang meninggal dunia akibat wabak itu hari ini adalah lelaki berusia 98 tahun dari Kuala Lumpur, manakala mangsa paling muda adalah dari Labuan berusia 34 tahun.– 14 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen