Filipina lapor 6,426 kes baharu Covid-19 


JABATAN Kesihatan Filipina (DOH) pada Isnin melaporkan 6,426 jangkitan baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes yang disahkan di negara ini kepada 1,322,053.

Memetik DOH, Agensi Berita Xinhua melaporkan, jumlah kematian meningkat kepada 22,845 selepas  57 lagi pesakit meninggal dunia akibat jangkitan virus tersebut.

Filipina, yang mempunyai lebih 110 juta penduduk, telah menyaring lebih 13 juta orang sejak pandemik dikesan pada Januari 2020.

Setiausaha Kesihatan, Maria Rosario Vergeire berkata, keadaan Covid-19 di Metro Manila masih “rapuh” walaupun kes baharu menunjukkan penurunan,

“Hospital kami di Metro Manila terkawal. Tidak ada lagi hospital pada tahap berisiko tinggi. Tetapi kita mungkin mengalami lonjakan lagi jika kita tidak berhati-hati,” katanya pada taklimat dalam talian.

Filipina kini menumpukan kepada usaha untuk mengembalikan ekonomi yang terjejas akibat wabak dengan mengurangkan sekatan pergerakan di samping mengekang jangkitan Covid-19.

Kerajaan akan mengumumkan peraturan larangan baharu pada Isnin dengan mengutamakan perkhidmatan yang perlu dahulu.

Datuk Bandar Metro Manila bersetuju untuk memendekkan tempoh perintah berkurung dari pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi waktu tempatan di ibu negara mulai Selasa untuk membolehkan perniagaan beroperasi lebih lama.

Lembaga Ekonomi dan Pembangunan Negara berkata pandemik tersebut menyebabkan kerugian sekitar 1.04 trilion peso (kira-kira AS$21.78 bilion) jumlah pendapatan isi rumah pada 2020 sahaja.

Data pekerjaan di negara ini menunjukkan bahawa kadar pengangguran meningkat dari 5.3 peratus sebelum pandemik kepada 7.1 peratus pada Mac 2021. – Bernama, 14 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen