SEORANG wartawan Amerika Syarikat yang ditahan di Myanmar sejak Mac lalu dibebaskan pada Isnin selepas pertuduhan terhadapnya digugurkan, kata peguam.
Warga AS Nathan Maung dibebaskan pagi ini daripada penjara Insein selepas polis menarik balik pertuduhan terhadapnya dan akan kembali ke AS pada Selasa, kata peguamnya Tin Zar Oo kepada AFP.
Maung, yang merupakan pengasas Kamayut Media, berdepan pertuduhan era penjajah yang menjadikan penentangan terhadap tentera sebagai satu jenayah, tambahnya.
Awal bulan ini, seorang wartawan Myanmar yang bekerja untuk satu lagi premis media dipenjara dua tahun di bawah undang-undang yang sama.
Pergolakan di Myanmar tercetus selepas pihak tentera merampas kuasa daripada pemimpin Aung San Suu Kyi pada 1 Februari hingga mencetuskan kebangkitan rakyat secara besar-besaran.
Junta tentera bagaimanapun bertindak balas dengan keganasan - menembak penunjuk perasaan, menahan suspek yang menentang tentera dalam beberapa siri serbuan, menyasarkan wartawan dan menutup premis media.
Beberapa wartawan asing turut ditahan, termasuk warga AS Danny Fenster yang ditahan ketika cuba meninggalkan negara itu pada 24 Mei lalu.
Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mendedahkan sebarang maklumat mengenai Danny.
Menurut kumpulan pemerhati tempatan, sejak rampasan kuasa tercetus pihak tentera memburu penentangnya dan membunuh lebih 860 orang awam.
Pemimpin Junta Min Aung Hlaing mengesahkan rampasan kuasanya dengan mendakwa terdapat penipuan dalam pilihan raya yang dimenangi oleh parti Suu Kyi pada November tahun lalu. – AFP, 14 Jun, 2021.
Komen