Azmin nafi PKR Selangor tak sokong resolusi calonkan Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Timbalan presiden PKR Azmin Ali menafikan bahawa PKR Selangor tidak mencapai persetujuan bersama dengan parti berkenaaan dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2018.

TIMBALAN presiden PKR Azmin Ali berang dengan tuduhan bahawa PKR Selangor tidak bersama dengan parti lain dalam Pakatan Harapan di negeri itu untuk menyokong resolusi mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Beliau menafikan bahawa PKR Selangor tidak mencapai persetujuan bersama dengan parti berkenaaan dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat

Jelasnya, PKR Selangor hanya tidak dimaklumkan sebelum kenyataan bersama PH Selangor dikeluarkan untuk menyokong resolusi konvensyen PH hujung minggu lalu.

“Itu satu tuduhan yang jahat bertujuan untuk lagakan PKR dengan parti lain. Saya telah rujuk PKR Selangor, kami tidak pernah dirujuk tentang kenyataan tersebut. 

“Jadi tak timbul PKR tidak bersama, kami tidak dirujuk, sudah tentu kami hanya tahu dari laporan media saja,” katanya Azmin ketika bercakap kepada pemberita hari ini.

Tegasnya, resolusi yang dicapai dalam konvensyen tersebut perlu dilaksana namun bantahan ke atas resolusi tersebut, seperti disuarakan anak buahnya perlu diraikan mengikut agenda reformasi.

“Jadi pandangan ini harus diraikan sementara saranan yang dibuat dalam konvensyen harus dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya ruang untuk menyatakan pandangan seperti itu harus diberikan, selari dengan agenda reformasi yang dianjurkan parti itu selama ini.

“Itu pandangan akar umbi, sudah dinyatakan dalam perjuangan reformasi ini kita kena berikan ruang kepada anggota dan rakyat beri pandangan. 

“Ini bukan zaman rejim diktator di mana rakyat dan anggota parti tidak boleh beri pandangan,” tegasnya ketika ditemui di Gombak hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Komunikasi PKR Selangor Hizwan Ahmad pada hari Isnin lalu yang enggan menyokong resolusi Pakatan Harapan turut menamakan timbalan presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Susulan itu, kepimpinan PH Selangor, dalam kenyataan kenyataan balas menyokong resolusi PH itu. Ia ditandatangani Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim 

Menurut Azmin, beliau juga merupakan antara pemimpin PH pertama yang bertemu Dr Mahathir untuk berbincang mengenai agenda reformasi.

Katanya, beliau gembira kerana Dr Mahathir bersetuju dengan agenda tersebut.

“Saya antara orang pertama bertemu Dr Mahathir tiga tahun lalu di London. Itu pertemuan pertama pimpinan pembangkang. Kita bincang panjang. 

“Kalau ingat peringkat awal beliau sekadar ingin turunkan Najib Razak, maka pertubuhan sivil, masyarakat dan anggota PKR beri pandangan pada belia sekadar tukar perdana menteri itu bukan perjuangan kita.

“Kita mahu beliau juga bersama dalam agenda reformasi kita. Saya amat gembira Dr Mahathir bersedia dan komited untuk teruskan agenda reformasi dan kita terima siapa sahaja, individu dan parti yang mahukan reformasi, maka ayuh bersama,” katanya lagi.

Menteri besar Selangor itu hadir dalam acara penyerahan Masjid Zakaria di Gombak hari ini. – 12 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen