SELAKU wilayah yang mempunyai pendapatan per kapita paling tinggi di China, Zhejiang dipilih sebagai pelopor pembinaan zon model kemakmuran bersama menerusi pembangunan berkualiti tinggi.
Baru-baru ini, Dewan Negara China menerusi satu dokumen turut menyatakan sokongan padu terhadap wilayah di bahagian tenggara negara itu untuk terus bergerak maju.
Menurut dokumen tersebut, China bercita-cita memperkenalkan model pembangunan Zhejiang untuk menjadi contoh di wilayah lain.
Pakar berpendapat, kerancakan aktiviti ekonomi dan keupayaan inovasi yang tinggi merupakan antara faktor penting wilayah itu diketengahkan sebagai pelopor dalam usaha berkenaan.
Pendapatan per kapita di wilayah Zhejiang adalah antara yang tertinggi di seluruh China susulan perkembangan pesat ekonominya manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita turut melepasi 100 ribu yuan (RM64.3 ribu).
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wilayah itu menyaksikan kemajuan besar dalam sektor ekonomi digital.
Kehadiran lebih banyak syarikat swasta turut mencipta pelbagai peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan kepada penduduk tempatan.
Zhejiang sentiasa komited dalam membudayakan kreativiti dan inovasi membabitkan banyak sektor.
Selain itu, banyak langkah pembaharuan dilaksanakan sebagai program rintis sebelum diguna pakai di seluruh negara. – Bernama, 14 Jun, 2021.
Komen