Hairan, Hishammuddin sekarang ulas isu Covid-19


SAYA merujuk kenyataan Hishammuddin Hussein semalam terkait kepincangan kerajaan dalam mengurus pandemik Covid-19 serta dakwaan beliau kononnya wujud pembawa karenah birokrasi terutamanya dalam urusan pemilihan vaksin.

Siapakah yang Hishammuddin maksudkan dalam kenyataan beliau: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin atau Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah?

Saya hairan kerana sebelum ini Hishammuddin tidak pernah mengulas isu-isu yang tidak berkait dengan portfolio beliau sebagai menteri luar, namun sejak nama beliau disebut-sebut sebagai calon perdana menteri bagi menggantikan Mahiaddin Yassin, baru kini kita mendengar pandangan Hishammuddin mengenai pengurusan pandemik Covid-19.

Hal-hal yang diungkap oleh Hishammuddin sebetulnya telah lama diwacanakan oleh khalayak dan turut dibangkitkan oleh beberapa tokoh politik, pakar perubatan dan kesihatan sebelum ini. 

Hishammuddin sewajarnya membangkitkan pertindihan tugas di antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam pengurusan vaksin yang kelihatan sangat cacamarba.

Setelah lebih 100 hari sejak tarikh perisytiharan darurat pada 11 Januari lalu, rakyat  meletakkan harapan kepada kabinet bersaiz raksasa untuk mencari jalan keluar dalam menghadapi pandemik Covid-19 namun ternyata kerajaan telah gagal. 

Kebanyakan menteri dan timbalan menteri dilihat tidak kompeten serta lebih banyak mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat politik yang menghina serta menyakitkan hati rakyat.

Sebagai seorang yang cintakan negara dan percaya kepada demokrasi, saya yakin Hishammuddin yang kononnya disebut-sebut sebagai perdana menteri dalam penantian (Prime Minister in waiting) berkongsi semangat yang sama. 

Justeru, saya berharap beliau akan turut memainkan peranan mendesak Mahiaddin supaya menamatkan darurat dengan segera dan memulihkan demokrasi dengan membuka Parlimen. – 14 Jun, 2021.


* Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua Penerangan PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen