SARAWAK akan meningkatkan program imunisasi vaksin Covid-19 dalam kalangan rakyatnya yang dijangka selesai menjelang Ogos ini, kata ketua menteri Abang Johari Abang Openg semasa mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Jaminan itu adalah satu antara tiga perkara yang dibangkitkan oleh pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam majlis mengadap yang berlangsung secara persidangan video dari Kuching, hari ini.
Persidangan video itu disertai tiga presiden parti-parti dalam GPS iaitu James Jemut Masing (PRS), Dr Sim Kui Hian (SUPP) dan Tiong King Sing (PDP).
Dalam satu kenyataan bersama selepas majlis, tiga presiden parti itu memaklumkan perkara lain yang dibangkitkan ialah tentang perlunya sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil untuk memastikan segala usaha memerangi pandemik berjalan lancar, serta pelan ekonomi pasca Covid-19.
“Kami, sebagai presiden PRS, SUPP dan PDP bersetuju sepenuhnya dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pengerusi GPS, mengenai tiga perkara penting dalam usaha melawan Covid-19 dan keadaan ekonomi yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada majlis itu,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas persidangan video yang diadakan dari Pejabat Ketua Menteri di Petra Jaya.
Al-Sultan Abdullah sejak Rabu lepas menerima mengadap ketua-ketua parti politik dalam Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, selain PAS, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), serta Dr Mahathir yang juga ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Majlis mengadap pemimpin GPS hari ini difahamkan adalah yang terakhir sebelum Raja-Raja Melayu mengadakan persidangan khas di Istana Negara, lusa.
Persidangan khas atas inisiatif Al-Sultan Abdullah itu bertujuan membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19 dan pelaksanaannya sepanjang tempoh darurat sejak lima bulan lalu, kata Istana Negara. – 14 Jun, 2021.
Komen