Vaksinasi bagi sektor ekonomi diaktifkan, kata Khairy


Ragananthini Vethasalam

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata langkah tersebut bagi memastikan kluster tempat kerja dapat dikawal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2021.

PUTRAJAYA telah mengaktifkan Fasa 4 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang membabitkan sektor ekonomi kritikal, kata Khairy Jamaluddin.

Langkah tersebut katanya bagi memastikan kluster tempat kerja dapat dikawal.

“Pada ketika ini fasa kawalan wabak melibatkan sektor ekonomi kritikal yang menjadi asas tulang belakang kepada pembangunan ekonomi kita.

“Tindakan ini penting untuk mengimbangi hidup dan mata pencarian,” kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu pada sidang media hari ini.

Program pemberian vaksin akan dimulakan dengan sektor industri pada minggu ini, yang kemudian akan diperluas secara berperingkat kepada sektor lain iaitu pembinaan, peladangan, peruncitan dan hospitaliti.

Tambahnya, satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan 30,000 dos vaksin diperuntukkan.

Khairy juga berkata semalam 11 daripada 15 kluster baharu Covid-19 yang dikesan melibatkan tempat kerja.

“Fasa kawalan wabak perlu digerakkan secepat mungkin dalam kalangan industri agar kluster tempat kerja dapat dikawal.”

Pada sidang media hari ini juga Khairy memaklumkan seramai 250 daripada 5,000 petugas media di seluruh negara sudah divaksin setakat ini, manakala 700 lagi sudah diberi tarikh janji temu.

Katanya, banyak lagi janji temu akan diberi kepada petugas media minggu ini.

Bagaimanapun, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) juga perlu mengimbangi keperluan pemberian vaksin kepada media dengan golongan warga emas, OKU dan komorbiditi dalam Fasa 2, ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy berkata CITF akan mempercepatkan janji temu dos kedua bagi petugas media yang memilih vaksin AstraZeneca.

“Bagi petugas yang mendapat suntikan dos pertama seperti AstraZeneca, CITF akan mengatur janji temu dos kedua mereka supaya mereka sempat melengkapkan perlindungan mereka sebelum berlepas pada bulan depan.”

Beliau juga memaklumkan seramai 38 petugas media daripada 47 agensi tempatan dan antarabangsa yang akan membuat liputan di Sukan Olimpik Tokyo, Jepun bulan depan telah menerima dos pertama suntikan vaksin hari ini. – 14 Jun, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen