Arab Saudi umum kos baharu haji di tengah pandemik


Arab Saudi kelmarin mengumumkan hanya 60,000 jemaah diberi kebenaran untuk mengerjakan haji pada tahun ini, yang dijadual akan berlangsung pada pertengahan Julai. – Gambar EPA, 14 Jun, 2021.

KERAJAAN Arab Saudi mengenakan kos baharu mengerjakan haji di tengah pandemik Covid-19, yang dikenakan antara lebih kurang RM15,000 hingga RM21,000 berdasarkan pakej pilihan jemaah, lapor Saudi Gazette.

Pakej pertama ditetapkan pada harga SR13,931 (kira-kira RM15,300), pakej kedua SR16,539 (RM18,150) dan pakej ketiga SR19,044 (RM20,900) termasuk cukai.

Pakej itu termasuk tempat tinggal dan makan minum selama di Arafah, Mina dan Muzdalifah, serta pengangkutan sepanjang proses mengerjakan haji.

Pakej itu dipaparkan selepas pendaftaran haji bagi musim ini dibuka semalam khusus untuk warga Arab Saudi dan penduduknya yang tidak mengerjakan haji dalam tempoh lima tahun lalu.

Pendaftaran secara dalam talian dibuka sehingga 23 Jun dan mereka yang layak perlu mendaftar sendiri, kata laporan itu.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi turut melonggarkan syarat bagi musim ini iaitu membenarkan wanita tanpa mahram lelaki mendaftar bersama wanita lain.

Syarat-syarat lain yang ditetapkan ialah umur jemaah antara 18 hingga 65 tahun, telah disuntik vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya dos pertama dan tidak mengidap penyakit kronik.

Pihak kementerian kemudian akan menyaring mereka yang berdaftar berdasarkan keadaan kesihatan dan peraturan lain.

“Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang belum pernah mengerjakan haji,” kata kementerian.

Arab Saudi kelmarin mengumumkan hanya 60,000 jemaah diberi kebenaran untuk mengerjakan haji pada tahun ini, yang dijadual akan berlangsung pada pertengahan Julai. – 14 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen