PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin harus membuat kenyataan tegas jika Jawatankuasa Khas Bebas Darurat menjadi satu-satunya badan berwibawa yang akan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat dilanjutkan pada 1 Ogos, kata Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata walaupun Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan sudah menarik semula pendiriannya bahawa adalah tanggungjawab Kabinet untuk memberi nasihat kepada Agong sama ada darurat harus dilanjutkan atau tidak, tetapi ia tidak mencukupi jika Muhyiddin mendiamkan diri mengenai perkara itu.
“Saya akan menasihati 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang diketuai oleh Arifin Zakaria untuk meminta pertemuan diadakan dengan perdana menteri dan mendapatkan jaminan daripadanya bahawa jawatankuasa dan bukan Kabinet atau menteri dilantik yang akan menasihati Agong,” kata ahli Parlimen veteran DAP itu.
Lim berkatam penarikan semula pendapat oleh Takiyuddin tidak bermakna Kabinet kini komited untuk tidak menggunakan kuasanya di bawah Perkara 40 Perlembagaan untuk menasihati Agong, di mana Baginda perlu bertindak ke atas nasihat ini.
“Takiyuddin hanya mengatakan yang kerajaan tidak pernah mengganggu tanggungjawab tunggal Jawatankuasa Bebas Khas Darurat ini—untuk menasihati Agong bila darurat ini perlu tamat—tetapi apakah keperluan untuk Kabinet mengganggu tugas Jawatankuasa ini sekiranya daripada pandangan Takiyuddin, Jawatankuasa ini tidak relevan memandangkan Baginda perlu mengikut nasihat Kabinet atau mana-mana Menteri yang dilantik?,” katanya.
Lim berkata jika Muhyiddin tidak bersedia untuk memberikan jaminan kepada Jawatankuasa Bebas Khas Darurat ini bahawa hanya nasihat mereka yang akan menjadi kata pemutus ke atas perkara ini, maka lebih baik dibubarkan sahaja jawatankuasa ini berkenaan.
Semalam Takiyuddin berkata Putrajaya mengakui peranan jawatankuasa bebas khas yang dibentuk untuk memberi nasihat kepada Agong mengenai darurat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata bahawa kenyataan beliau sebelum ini berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang mengenai hal berkaitan dipetik di luar konteks yang sepatutnya.
“Kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat.
“(Ini) termasuk mengiktiraf segala mekanisme yang wujud secara sah di sisi undang-undang. Dengan kata lain kerajaan mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
“Kerajaan juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, sebaliknya, memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 2,” katanya dalam satu kenyataan. – 14 Jun, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen