2 kanak-kanak maut ditembak di Rom


SEORANG lelaki menembak dan membunuh dua kanak-kanak yang bermain di luar rumah mereka serta seorang warga emas di sebuah bandar berhampiran Rom semalam sebelum membunuh diri, kata pegawai dan media.

Datuk bandar tempatan Mario Savarese berkata, lelaki bersenjata itu dan kanak-kanak yang merupakan adik beradik berusia lima dan 10 tahun serta warga emas berusia 84 tahun berasal dari kawasan perumahan sama di Ardea, di mana tragedi itu berlaku.

Lelaki itu bersembunyi di sebuah pangsapuri berdekatan selama tiga jam semasa perunding berusaha meyakinkannya untuk keluar.

Pegawai bersenjata akhirnya memecah masuk tempat persembunyian suspek dan menemui mayat lelaki itu, kata agensi berita Ansa.

Saksi berkata suspek sebelum itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental. Dia dilihat menembak secara rawak ke arah kanak-kanak yang bermain di taman permainan dan seorang lelaki berbasikal.

Pesuruhjaya kesihatan untuk wilayah Lazio, Alessio D’Amato mengesahkan kematian kanak-kanak itu selepas mereka dibawa ke hospital. – AFP, 14 Jun, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen