SEORANG pendaki warga Austria ditemui mati di Himalaya selepas cubaan mendaki secara solo puncak di wilayah Everest Nepal, kata pihak berkuasa pada Jumaat, dan merupakan kematian pertama sejak penguatkuasaan undang-undang baharu yang melarang pendakian solo.
Pendaki berusia 41 tahun itu dipercayai mati pada akhir Disember lalu selepas terjatuh daripada rabung ketika cuba menuju ke puncak berketinggian 6,119 meter di timur puncak Gunung Lobuche, bersebelahan Gunung Everest.
“Dia meninggalkan pemandu arah di kem tinggi dan merancang untuk mendaki berseorangan ke puncak. Pemandu arah berkenaan menunggu sehingga 2 pagi keesokannya dan dia tidak kembali, pemandu arah berkenaan kemudiannya ke perkampungan Lobuche dan membuat laporan,” kata pengarah Ramdung Expeditions, Raju Dong Lama yang menganjurkan pendakian itu.
Operasi mencari dijalankan dengan berjalan kaki dan menggunakan helikopter yang mengambil masa 10 hari sebelum mayat pendaki malang itu ditemui, kata Lama.
Kematian berkenaan merupakan yang pertama selepas Nepal memperkenalkan peraturan yang menghalang pendakian secara solo di kawasan pergunungan itu pada akhir tahun lalu. Pendaki malang terbabit dipercayai memulakan pendakian sebelum peraturan berkenaan diperkenalkan.
Kerajaan negara itu berkata, peraturan baru itu adalah bagi menjadikan aktiviti pendakian lebih selamat dan sekaligus mengurangkan kadar kematian.
“Ini merupakan kematian pertama sejak kerajaan melarang pendaki daripada melakukan aktiviti pendakian secara solo. Kami merancang untuk mengambil inisiatif memperkenalkan larangan ini secara lebih ketat untuk menyelamatkan nyawa di Himalaya,” kata pengerusi Persatuan Pendaki Nepal, Shanta Bir Lama.
Bagaimanapun, peraturan baru itu mencetuskan kemarahan pendaki solo elit, yang suka menjalankan aktiviti pendakian secara solo, dan berkata masalah berkenaan adalah berpunca daripada aktiviti ekspedisi secara komersial yang menarik minat pendaki yang tidak berpengalaman sekali gus mewujudkan potensi kematian di puncak tertinggi di dunia itu.
Ribuan pendaki dari seluruh dunia bertumpu ke Nepal yang merupakan kediaman kepada 14 puncak tertinggi dunia melebihi 8,000 meter, pada setiap musim luruh dan musim bunga ketika cuaca cerah yang memberikan peluang mendaki lebih baik.
Pendakian pada musim sejuk jarang dilakukan dan terhad hanya kepada pendaki berpengalaman yang mahu menguji kebolehan mereka.
Pendaki berpengalaman dari Sepanyol Alex Txikon merupakan pendaki pertama yang cuba mendaki puncak tertinggi di dunia pada musim sejuk lebih dua dekad lalu. – AFP, 12 Januari, 2018.
Komen