SEBUAH jawatankuasa teknikal yang diketuai oleh Peguam Besar Negeri Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid akan mengadakan pertemuan “beberapa bulan akan datang” dengan rakan sejawatnya, Mohamed Apandi Ali untuk membentangkan persediaan asas rundingan bagi mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg hari ini.
Beliau berkata, memandangkan fasa kedua penurunan kuasa yang menyentuh hak Perlembagaan Sarawak yang disifatkan beliau sebagai “perkara rumit”, peguam besar negeri dan peguam negara akan mengkaji sehabis mungkin segala asas untuk diserahkan kepada jawatankuasa tertinggi masing-masing sebelum mereka bertemu.
“Kami mahu membincangkan dahulu mengenai perimeter (mensyuarat itu),” katanya pada sidang media di akhir mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Kuching hari ini.
Pendirian dan pendekatan Sarawak untuk mengkaji semula perjanjian itu telah dibincangkan dengan terperinci dalam mesyuarat tersebut.
Penubuhan jawatankuasa peringkat tertinggi Sarawak itu yang akan mempunyai ketiga-ketiga timbalan ketua menteri yang diwakili Douglas Unggah sebagai pengerusi, sudah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada persidangannya November lalu.
Bagaimanapun, Putrajaya belum lagi menubuhkan jawatankuasanya.
Abang Johari sebelum ini berkata jawatankuasa Persekutuan harus sekurang-kurangnya diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. – 12 Januari, 2018.
Komen