Kekurangan pengawal keselamatan warga Nepal terkawal, kata persatuan industri


Noel Achariam

Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) Ramli Yusuff berkata, berdasarkan data dari Kementerian Dalam Negeri terdapat sekitar 29,000 pengawal keselematan warga Nepal ditempatkan di seluruh negara. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Jun 2021.

KAWALAN pergerakan menghalang tenaga kerja pengawal keselamatan warga Nepal meninggalkan negara dan menyekat kekurangan pekerja buat sementara, kata Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM).

Presidennya Ramli Yusuff berkata kekurangan berlaku kerana pengawal keselamatan dari negara itu sukar untuk kembali bertugas di Malaysia berikutan penutupan pintu sempadan negara sejak Mac tahun lalu.

Beliau berkata, industri ini masih memerlukan pengawal keselamatan warga Nepal tetapi mereka masih dapat menguruskannya buat masa ini.

Ramli berkata, Putrajaya juga menggantung kemasukan pengawal keselamatan asing baharu yang dibawa masuk ke negara ini sejak tahun lalu.

“Bahkan Nepal menghentikan penghantaran warganya ke sini ketika pandemik berikutan jumlah kes yang tinggi.

“Terdapat kebimbangan dalam kalangan pengawal keselamatan pada awalnya selepas tidak dapat kembali, tetapi secara amnya mereka lebih tenang berbanding PKP pertama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut PIKM, data Kementerian Dalam Negeri menunjukkan terdapat sekitar 29,000 pengawal keselamatan warga Nepal ditempatkan di seluruh negara dan pihak berkuasa menegaskan firma keselamatan hanya boleh membawa masuk warga itu sebagai pekerja mereka.

Ramli berkata, kesemua firma itu berpusat di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor dan terdapat sekitar 900 syarikat di bawah persatuan itu.

“Ada pengawal keselamatan yang ingin pulang apabila mereka mendengar mengenai kes tinggi di negara mereka, tetapi kami meminta ahli kami untuk cuba dan memujuk mereka untuk tinggal dan kebanyakannya memilih untuk terus kekal,” katanya.

Katanya, pengawal keselamatan mempunyai kontrak minimum dua tahun dengan lanjutan selama tiga tahun, namun sekarang tempohnya dipanjangkan kepada 10 tahun.

Mengulas isu pengawal keselamatan yang dijangkiti Covid-19, Ramli berkata maklumat yang diterima daripada ahlinya menunjukkan terdapat hanya lebih 100 anggota disahkan positif sejak PKP pertama tahun lalu.

“Puncanya disebabkan tempat tinggal yang sempit selain tiada penjarakan sosial dan sejumlah besar (pengawal keselamatan) tinggal di satu tempat.

“Kami sudah menasihati dan meminta ahli untuk mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan terhadap penginapan pekerja mereka bagi mencegah jangkitan.”

Beliau berkata, mereka mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) yang dikuatkuasakan pada September tahun lalu.

Ramli berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada ahli persatuan kira-kira 20 pengawal keselamatan disahkan positif sejak Januari hingga kini.

“Mereka yang disahkan positif akan diasingkan dari pengawal keselamatan yang lain dan akan diberi rawatan.”

Dalam pada itu. PIKM mendesak agar kerajaan memberikan vaksin kepada pengawal keselamatan secepat mungkin bagi membendung penularan pandemik ini.

Tiada masalah bekerja di Malaysia

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan warga Nepal Jajdish Singh Mahara berkata beliau tidak sabar untuk melihat anaknya yang berusia dua tahun.

“Saya sudah berada di sini selama setahun enam bulan dan saya berharap PKP akan berakhir bagi membolehkan saya pulang ke kampung halaman.

“Saya harap dapat melihat anak saya apabila kontrak tamat,” kata Jajdish, 30.

Ketua Eksekutif Pristine Security Sdn Bhd Khirudin Tajudin berkata, beliau tidak mempunyai masalah besar dengan pengawal keselamatan warga Nepal setakat ini. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Jun 2021.

Mengenai pandemik yang melanda di Nepal ketika ini, dia berkata, isteri dan anaknya berada dalam keadaan selamat.

“Keluarga saya tinggal bersama ayah dan ibu saya. Saya juga menghubungi mereka setiap hari untuk untuk mendengar perkhabaran mereka.”

Jagdish berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah bekerja di Malaysia dan akan kembali bertugas sekiranya mendapat peluang bercuti.

Bagi Ramlal BK, 26, dia merancang untuk mendirikan rumah tangga jika dibenarkan pulang ke kampung halamannya di daerah Baglung.

“Saya merancang untuk bertunang dan berkahwin dengan teman wanita saya apabila pulang ke sana. Saban hari saya menhubunginya dan ibu bapa saya supaya terus berhubung.

“Saya masih ada enam bulan lagi sebelum kontrak saya tamat. Setakat ini, saya tidak mempunyai masalah di sini. Saya tidak banyak keluar dan kami mengikut SOP. Saya harap dapat pulang ke negara saya.”

Jeevan Bhandari, 40 yang mempunyai baki kontrak selama lima bulan pula berkata, dia tidak merancang untuk kembali ke Malaysia kerana dia perlu menjaga tiga anaknya yang berusia dua, tiga dan 13 tahun.

“Saya tidak fikir saya akan kembali ke Malaysia. Anak-anak terus bertanya pada saya.

“Saya merancang untuk mencari pekerjaan di Nepal kerana ingin bersama keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pristine Security Sdn Bhd Khirudin Tajudin berkata beliau tidak mempunyai masalah besar dengan pengawalnya setakat ini.

 “Syarikat saya mula melakukan sesi kaunseling terhadap pengawal keselamatan warga Nepal untuk membantu mereka menyelesaikan masalah di kampung halaman mereka.

Khirudin, yang menggaji 42 pengawal keselamatan warga Nepal menambah mereka juga sudah mengarahkan pekerja untuk terus tinggal di rumah sekiranya tiada tugasan.

“Kami hanya membenarkan enam pengawal keselamatan tinggal di sebuah unit. Kami juga melengkapkan mereka dengan topeng muka, pelindung muka dan semua peralatan lain untuk memastikan keselamatan mereka.

“Sekiranya kami mengesyaki ada masalah, kami akan mengambil tindakan pada kadar segera,” katanya. – 14 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen