Penyelesaian yang tidak menyelesaikan


Haris Hauzah

APAKAH benar Majlis Pemulihan Negara atau kerajaan perpaduan akan dapat segera membawa negara ini keluar dari segala kekusutan?

Beberapa hari ini jalan dan pintu-pintu masuk ke istana negara kembali sesak. Penyokong dan pengekor pemimpin-pemimpin parti mula teruja dan gelisah.

Semacam ada perkembangan terbaru yang bakal mahu diubah. Khabarnya ada penjajaran baharu yang hendak dilencongkan bagi meredakan gelombang pemberontakan rakyat yang semakin meluap.

Sepertimana apa yang kita maklumi, kerajaan hari ini adalah kerajaan gagal hasil dari gerakan Sheraton yang bersujud syukur mengkhianati mandat rakyat pada PRU14. 

Semenjak itu kita melihat bagaimana tokoh-tokoh politik yang dipilih rakyat terguling dan digulingkan. Ada banyak drama, pelbagai sensasi dan bermacam kontroversi yang dibikin politikus-politikus ini di dalam dan di luar Dewan Rakyat.

Kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat yang kian tak terkawal mula ke garis amaran. Ada sebab mengapa rakyat bangun membangkitkan bengang dan resah mereka dengan bermacam cara menghina dan bermacam gaya mencerca.

Kemelut politik yang berlaku sekarang ini adalah satu kebuntuan yang paling menggila dan menekan. Bayangkan di kala hidup rakyat diancam pandemik merbahaya, politikus kita sibuk mencatur dan merebut-rebut kuasa. Tak cukup dengan itu ada antara mereka yang sombong gila hendak menunjuk-nunjuk jenis kuasa yang mereka ada. 

Kematangan politik mereka selain dizahirkan dengan kecemerlangan mengkhianat, mereka tunjukkan juga dengan kehebatan aksi membeli dan menawarkan skim kebendaan kepada mana-mana ahli Dewan yang berani melompat. 

Dari situ bermulalah satu demi satu beban permasalahan dikumpul bertindan-tindan. 

Segala kekuasaan terletak pada tangan satu dua menteri gagal yang sebenarnya tak reti menguruskan negara dan negeri. Kita diperlihatkan satu demi satu kegagalan dan satu demi satu permasalahan. 

Lebih memudaratkan apabila kerajaan yang gagal ini mencampakkan kesempitan hidup rakyat ke dalam situasi darurat tanpa pilihan. Tanpa bantuan besar yang benar-benar menyelamatkan, Parlimen ditutup dan kerajaan dikendalikan tanpa keseimbangan. 

Kemelaratan rakyat yang kian berat bersama konflik politik buruk yang gagal diuruskan, akhirnya menjadi satu gerakan anti kerajaan.

Suara-suara desakan, rayuan dan pujukan yang kedengaran melata di sana-sini akhirnya didengarkan. Permohonan agar Yang di-Pertuan Agong segera bertindak dan mengambil perhatian dengan lebih berat akhirnya membuahkan hasil.

Dari ribut suara gosip yang kedengaran, kononnya ada dua penyelesaian penjajaran.

Satu adalah dengan penubuhan sebuah perikatan kerajaan perpaduan yang diharapkan bakal dapat membawa nafas baru ke dalam pentadbiran kerajaan sekaligus dapat memberikan nyawa kepada rakyat yang sekarang tinggal nyawa-nyawa ikan.

Perikatan yang boleh saja diberikan nama kerajaan perpaduan nasional itu nanti sudah tentulah perlu melibatkan kesemua parti politik khasnya parti-parti besar yang utama. 

Idea utama penubuhan kerajaan perpaduan ini sudah pasti adalah untuk menguruskan peperangan terhadap pandemik serta menamatkan segera konflik politik yang sudah terlalu lama gagal diuruskan.

Kita tahu bahawa ada terlalu banyak kegagalan dalam kerajaan hingga melumpuhkan kelancaran pentadbiran. Rakyat tentunya tidak mahu melihat kementerian dan agensi-agensi dalam kerajaan digunakan secara licik bagi mempertahankan kedangkalan politik menteri apabila ada akaun media sosial agensi dan kementerian yang dilihat tidak menggunakan rasional dan akal.

Kelumpuhan pentadbiran telah mengakibatkan ada anak-anak sekolah yang keciciran. Bagi yang berperanti, masalah akses internet akhirnya menjadikan anak-anak ini putus asa dan bencikan persekolahan. 

Ada banyak lagi kelumpuhan pentadbiran hingga kelembapan program vaksin kebangsaan yang tersasar jauh dari sasaran jadi isu besar yang membimbangkan.

Sudah ada terlalu banyak perniagaan yang terpaksa dihentikan. Sementara iklan propaganda tak henti-henti bergula-gula mengatakan kononnya peniaga perlu lebih kreatif memanfaatkan perniagaan dalam talian.

Inilah tanda jenis kerajaan yang tak tahu menangani isu dan menyelesaikan permasalahan.  

Pun begitu, ada satu lagi penyelesain yang kencang kedengaran iaitu penubuhan sebuah kerajaan baru ala Majlis Gerakan Negara 1969 (Mageran). Walau bagaimanapun, cadangan Dr Mahathir Mohamad itu kelihatannya berdepan kesukaran apabila beliau turut mendedahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong menegaskan cadangan tersebut haruslah datang daripada pihak kerajaan.

Selain dua penyelesaian ini, ada satu lagi jalan tengah yang difikirkan wajar untuk lebih dulu didahulukan, iaitu membuka semula Parlimen untuk mendengar, membahas dan mengetengahkan segala masalah rakyat.

Baik penubuhan kerajaan ala Mageran mahupun pembentukan sebuah perikatan atas nama kerajaan perpaduan, masalah sekalian ahli politik kita ini yang sebenarnya bukanlah bermotivasikan rakyat. Sebaliknya, hanyalah untuk mengembalikan semula ketua dan parti mereka untuk kembali memegang kekuasaan.  

Justeru, Mageran dan kerajaan perpaduan tidak akan dapat meleraikan apa-apa kekusutan. 

Selagi motivasi mereka bukannya rakyat dan politik negara ini masih dikelilingi sekalian koruptor dan tokoh-tokoh pengkhianat, 2021 hanyalah tahun yang lebih parah dan lebih melarat. – 13 Jun, 2021. 

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen