Tak wajar buat pilihan raya awal di Selangor, kata MB


Mohd Farhan Darwis

Azmin Ali yang juga pengerusi Pakatan Harapan Selangor menjelaskan, Pilihan Raya Negeri akan melibatkan kos yang tinggi dan hanya akan menambah resah rakyat jika diadakan dalam masa terdekat ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2018.

MENTERI Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata cadangan untuk Selangor mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lagi relevan dan juga tidak munasabah memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan tidak lama lagi.

Cadangan untuk mengadakan PRN itu, yang disebut-sebut sebagai cara untuk Pakatan Harapan (PH) kehilangan kerusi akibat persempadanan semula, hanya sesuai untuk dibincangkan sekiranya dibangkitkan lebih awal, katanya.

“Sekiranya candangan ini dibuat setahun lalu mungkin ia boleh bincangkan. Tapi dalam keadaan situasi penggal ini akan berakhir jadi saya tidak nampak kewajaran nak buat PRN lebih awal,” katanya.

Azmin yang juga pengerusi PH Selangor menjelaskan, PRN melibatkan kos tinggi dan hanya akan membangkitkan keresahan rakyat sekiranya dijalankan pada masa sekarang.

“Saya berpandangan bahawa isu ini tidak lagi relevan sebab tempoh penggal akan berakhir dalam beberapa bulan dan sudah tentu cadangan ini tak munasabah kerana ia akan timbulkan keresahan dalam kalangan rakyat, mengapa diadakan PRN ketika tempoh penggal hampir berakhir. 

“Ini juga akan sebabkan kos lebih besar dan ini adalah duit rakyat,” katanya lagi kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan Masjid Zakaria di Gombak, hari ini.

Timbalan presiden PKR itu berkata, fokus utamanya adalah untuk memberikan tumpuan kepada  meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat untuk menyelesaikan masalah mereka.

Barisan pemimpin PH yang bercakap kepada The Malaysian Insight juga berpendapat, cadangan untuk mengadakan PRN itu hanya akan mengelirukan rakyat dan tidak memberikan kesan besar.

Mereka yakin akan dapat mengekalkan Selangor meskipun dengan persempadanan semula yang akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN). 

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli juga dilaporkan berkata keputusan sedemikian juga akan menyebabkan pembaziran dan tidak mendatangkan kesan besar kepada Selangor.

“Saya ingat sekarang agak terlambat ke arah itu. Antara sekarang dengan tarikh umum yang mungkin dua tiga bulan, kesannya tidak besar.

“Cadangan itu ada ditimbulkan setahun lepas, setahun lepas kalau ada (PRN) awal, saya yakin kita boleh menang dan kesan lebih besar mempengaruhi keputusan PRU14,” katanya.

Setiausaha Publisiti DAP Selangor Ng Suee Lim berkata isu itu juga tidak perlu dipertimbangkan.

Beliau berkata PH tetap yakin akan dapat mengekalkan pentadbiran di Selangor walaupun dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan memberi kelebihan kepada BN.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang berpendapat, PRN itu mungkin bermakna jika dijalankan sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal.

“Kalau (PRN) berlaku dua tahun lalu, ada mesej hendak sampaikan pada rakyat. Tapi pada ketika ini yang hanya beberapa bulan PRU, akhirnya kita hantar satu mesej yang celaru pada rakyat,” katanya.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin juga berpendapat PRN tidak perlu dilakukan dan yakin kepada sikap pengundi untuk memilih PH dalam PRU14.

“Kami tak perlu lakukan pembubaran awal di Selangor. Kami yakin kita mampu kekalkan Selangor memandangkan pengundi Selangor matang politik seperti yang terbukti kita sekarang memegang 44 kerusi DUN daripada 56 kerusi,” katanya.

Kenyataannya itu mengambil kira kerusi PAS yang menguasai 15 kerusi DUN Selangor dalam PRU 2013 sedangkan PAS tidak lagi membentuk kerjasama politik dengan DAP serta PKR untuk memenangi pilihan raya kali ini. – 12 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen